PETALING JAYA: Proses pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu berpotensi menimbulkan dua komplikasi utama dan perlu ditangani secara berhemah bagi memastikan kelangsungan serta kestabilan gabungan itu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, komplikasi pertama melibatkan perkara penting yang perlu dirungkaikan iaitu mandat diberikan kepada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) untuk mencari sokongan pengundi bukan Melayu bagi PN.
Beliau berkata, wujud kebimbangan dalam kalangan Gerakan dan MIPP bahawa mereka tidak dapat menunaikan mandat tersebut sekiranya Pas memimpin PN, berikutan kemungkinan perubahan imej PN di mata rakyat apabila Pas menjadi Pengerusinya.
Katanya, walaupun sebelum ini terdapat persoalan mengenai kemampuan dua parti berkenaan menggalas amanah yang diberikan, namun sekiranya imej PN itu sendiri tidak membantu, keadaan itu seolah-olah menyebabkan kaki dan tangan Gerakan serta MIPP terikat.
“Bagi menyelesaikan komplikasi pertama itu, terdapat cadangan supaya Datuk Seri Hamzah Zainudin dilantik sebagai Pengerusi PN. Hujah yang dikemukakan adalah jika Pas sebelum ini boleh mencadangkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, maka tiada masalah untuk Pas sekali lagi mencadangkan beliau sebagai Pengerusi PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Saiful, perkara paling penting calon tersebut mestilah dinamakan oleh Pas dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar juga merupakan antara nama yang disebut-sebut oleh ramai pihak.
Menurut beliau, sekiranya Pas mencadangkan Hamzah, kemungkinan besar Gerakan dan MIPP boleh bersetuju. Namun, sekiranya Pas mencadangkan Ahmad Samsuri, perbincangan mengenai isu imej masih perlu dirungkaikan secara harmoni.
Bagaimanapun, katanya, pencalonan Hamzah berpotensi membawa kepada komplikasi kedua yang disifatkannya sebagai komplikasi palsu dan dibuat-buat.
“Komplikasi itu berpunca daripada niat tidak baik serta hasad dengki segelintir pihak dalam Bersatu yang didakwanya sebagai ‘penjilat’ kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Wujud gerakan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berusaha menyekat Hamzah dengan mewujudkan pelbagai alasan termasuk syarat Pengerusi PN mesti Presiden parti atau mana-mana pemimpin Bersatu tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam PN bertujuan mengikat tangan Pas dan Hamzah,” katanya.
Wan Saiful berkata, sejak kebelakangan ini, kumpulan sama juga menyerang Ahmad Samsuri melalui media sosial bagi menimbulkan keraguan terhadap kepimpinan beliau.
“Komplikasi kedua itu sengaja dicipta bagi menyusahkan PN bergerak ke hadapan dan sekiranya syarat-syarat tersebut dibawa ke meja mesyuarat, ia menunjukkan matlamat sebenar pihak terbabit adalah melemahkan PN sekiranya Muhyiddin tidak lagi menjadi ketua.
“Apabila PN menjadi lemah, ia akan memudahkan usaha membawa Bersatu ke arah Pakatan Harapan (PH) melalui kerjasama Muhyiddin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya. – UTUSAN











