Penoreh getah tertipu pinjaman tidak wujud - Utusan Malaysia

Penoreh getah tertipu pinjaman tidak wujud

HOO CHANG HOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang penoreh getah di Rompin di sini terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM3,180 apabila terpedaya dengan iklan pinjaman tidak wujud di internet.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, setelah melihat iklan tersebut pada 12 Mac lalu, mangsa iaitu wanita berusia 36 tahun telah berhasrat untuk membuat pinjaman sebanyak RM5,000.

Wanita itu kemudian telah berhubung melalui aplikasi WhatsApp menerusi nombor 019-4236320 dengan seorang individu bernama Leong Chun Weng. 

“Mangsa telah diminta untuk membuat pembayaran bagi pelbagai urusan. Mangsa yang percaya telah memindahkan wang sebanyak tiga kali dari akaunnya ke akaun Bank Islam milik Balbir Singh A/L Gurnam.

“Selepas pembayaran dibuat, mangsa dijanjikan akan diberikan pinjaman sebanyak RM5,000, tetapi, mangsa masih diminta untuk membuat bayaran sebanyak RM1,000. Mangsa kemudiannya mahu membatalkan pinjaman, namun, tidak dilayan serta panggilan juga disekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chang Hook berkata, dalam kes lain lain pula, seorang wanita berusia 44 tahun di Bahau telah mengalami kerugian sebanyak RM3,780 apabila terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Menurutnya, mangsa iaitu ahli perniagaan telah menerima panggilan dari nombor 013-1535497 yang mendakwa dari pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

“Mangsa diberitahu memiliki tunggakan cukai sebanyak RM98,666.98 dan disambungkan panggilan ke nombor telefon lain yang mendakwa sebagai Inspektor Anis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar.

“Mangsa ditakut-takutkan dengan dakwaan syarikat yang menggunakan identitinya menjalankan kegiatan jual beli dadah dan meminta mangsa membayar duit jaminan RM5,000 atau sekiranya gagal, mangsa akan ditangkap.

“Suspek juga meminta mangsa untuk memberikan nombor akaun, nama pengguna dan kata laluan untuk memeriksa duit keluar masuk dalam akaun mangsa. Mangsa akhirnya mendapati duit dari akaunnya telah dipindahkan ke akaun lain dan segera membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

Chang Hook berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya