Hijab Rindu, Black Hanifah buru pentas akhir AJL40 - Utusan Malaysia

Hijab Rindu, Black Hanifah buru pentas akhir AJL40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi, Black Hanifah menyimpan hasrat besar untuk kembali menjejakkan kaki ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-40 menerusi lagu Hijab Rindu yang dianggap mempunyai kekuatan tersendiri untuk bersaing.

Menurut Black, pengalaman pernah merangkul trofi Vokal Terbaik pada AJL 24 menjadikan dirinya begitu merindui suasana persaingan sengit dan cabaran yang hadir sepanjang menyertai pertandingan berprestij itu.

“Kalau boleh, saya memang mahu kembali ke AJL. Saya rindu suasana bekerja keras pagi, petang dan malam. Tekanan itu saya rindu.

“Sudah lama saya berada dalam keadaan lebih santai, jadi saya mahu merasai semula adrenalin itu,” katanya selepas membuat persembahan pada hari pertama Anugerah Juara Lagu 40 Separuh Akhir (AJL40 SA) di Studio TV3, Glenmarie, di sini, semalam.

Mengulas peluang Hijab Rindu untuk mara ke pentas akhir, penyanyi berusia 38 tahun itu berkata, lagu berkenaan menerima harapan tinggi daripada peminat serta orang sekeliling yang yakin ia mampu melangkah jauh.

“Kalau ikutkan orang terdekat, mereka memang berharap lagu ini ke pentas akhir. Saya pula hanya cuba memberikan yang terbaik selepas lama tidak membuat persembahan secara langsung di televisyen (TV).

“Persembahan di pentas seperti ini berbeza kerana penonton datang dengan harapan yang tinggi. Ia memberi tekanan, tetapi saya rasa saya dapat menyampaikan dengan baik pada AJL40 SA malam tadi,” katanya.

Dalam masa sama, Black atau nama sebenarnya, Hanifah Muhammad Hanafiah mengakui persaingan dalam industri muzik kini semakin mencabar dengan kemunculan ramai penyanyi baharu yang memiliki kekuatan vokal luar biasa.

Katanya, kehadiran nama besar seperti Aina Abdul dan Ernie Zakri membuktikan standard nyanyian semasa semakin tinggi berbanding dahulu.

“Sekarang kita ada ramai penyanyi yang mempunyai kekuatan vokal antaranya Aina Abdul dan Ernie Zakri.

“Persaingan memang lebih sengit dengan teknik nyanyian mereka yang lebih maju. Dulu mungkin hanya seorang dua yang mampu mencapai nota tinggi, tetapi sekarang ramai yang boleh melakukannya.

“Namun, saya anggap ini sebagai cabaran. Saya tidak akan mengaku kalah. Saya akan buat yang terbaik, mungkin akan mula mengikuti kelas vokal untuk memperbaiki teknik, lebih-lebih lagi apabila usia semakin meningkat,” katanya.

Pada masa sama, Black turut berharap usahanya menerusi lagu Hijab Rindu ciptaan Rudy Nastia dan Adi Pawana dapat menerima pengiktirafan, walaupun bukan dalam kategori utama.

“Saya berdoa agar lagu ini ada tempat, walaupun bukan dalam tiga terbaik. Mungkin dalam kategori Persembahan Terbaik atau Vokal Terbaik.

“Itu sasaran awal saya. Selebihnya terpulang kepada penilaian juri. Saya percaya ia tidak mustahil jika saya berdisiplin dan menjaga rutin dengan baik.

“Kalau ada rezeki ke pentas akhir, saya akan pastikan memberikan tentangan yang hebat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN