SHAH ALAM: Nasib sembilan penjawat awam yang merupakan pegawai dan anggota penguat kuasa serta seorang nelayan sama ada dituduh di mahkamah atau dibebaskan akan diketahui selepas tempoh reman mereka tamat pada 20 Mac ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan terhadap kesemua 10 suspek terbabit adalah dalam sindiket penjualan semula dadah yang dirampas.
“Setakat ini, tidak ada tangkapan susulan, reman mereka akan tamat pada 20 Mac ini, kita sudahpun menyiapkan kertas siasatan, jadi, kita tunggulah apa keputusannya sama ada mereka iaitu dua suspek pertama, nelayan dan penjawat awam sama ada akan dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 atau dibebaskan.
“Lagi baki ada lapan orang, nanti, kita tunggu apa keputusannya. Yang pasti, siasatan kita sudah habis untuk 10 orang ini,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi sembilan penguat kuasa dalam serbuan berasingan di sekitar Johor dan Putrajaya.
Malah, seorang lagi ahli sindiket iaitu nelayan berusia 29 tahun yang ditahan dalam serbuan pada 6 Mac hingga 8 Mac lalu.
Sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan menjual 50 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dirampas dalam satu operasi di perairan Selat Melaka yang cuba diseludup oleh sindiket bergerak aktif di Banting, Selangor untuk pasaran di Dumai, Indonesia.
Dalam pada itu, Ayob Khan turut memaklumkan tiada tangkapan baharu dibuat, namun, siasatan untuk mengesan saki baki anggota sindiket terlibat masih berjalan.
“Kita masih lagi menjalankan soal siasat untuk makluman bagi mengesan lagi saki baki kalau ada mana-mana lagi penjawat awam yang terlibat, kita akan ambil tindakan susulan.
“Saya nyatakan tadi, remannya akan tamat pada 20 Mac, jadi, pada tarikh itu akan tau sama ada dituduh atau dibebaskan atau diambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang yang lain,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE