KUALA LUMPUR: Sebanyak 125 lokasi penagihan dadah di penempatan rancangan Felda telah digempur Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam serbuan Ops Tapis Khas Siri 2 di seluruh negara sepanjang tempoh tiga hari bermula 23 Februari.
Dalam tempoh itu juga, turut digempur dalam operasi sama iaitu 222 kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mudin Pitchay berkata, operasi itu dilaksanakan bagi menangkap tokan dan memusnahkan ‘lubuk’ penagihan dadah.
Kata beliau, dalam operasi itu, sebanyak 3,668 individu termasuk 156 wanita berusia lingkungan 14 hingga 60 tahun ditahan.
Menurutnya, tangkapan turut menahan seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan enam pelajar sekolah kerana memiliki serta positif dadah.
“Selain itu, siasatan lanjut mendapati seramai 572 orang adalah tokan, penagih (1,850 orang) dan 185 adalah orang dikehendaki.
“Operasi ini berjaya merampas 745.93 kilogram (kg) dan 283.60 liter pelbagai jenis dadah serta satu pokok ganja bernilai kira-kira RM10.38 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, turut dirampas sepanjang operasi ini adalah sepucuk pistol tiruan, dua laras senapang patah, selaras senapang angin serta 35 butir peluru.
Tambahnya, JSJN juga telah menyita wang tunai RM159,786, barang kemas (RM18,846), 22 buah kereta (RM553,200), 52 buah motosikal (RM276,600) serta topi keledar jenama Shoei (RM700).
Tegas Ayob Khan, isu penagihan dadah di PPRT dan Felda bukanlah kes baharu kerana trend hari ini menunjukkan peningkatan tinggi.
“Dadah adalah musuh nombor satu negara. Tapi kita masih lagi berdepan dengan ancamannya dan jika tidak ditangani ia tidak akan habis.
“Operasi ini menerima maklum balas yang baik daripada masyarakat dan JSJN akan ada lagi sasaran baharu untuk tangani isu ini. Saya seru masyarakat untuk tampil menyalurkan kepada pihak polis untuk bersama membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE