Diuji hilang sebelah mata, Mahathir kembali kejar impian - Utusan Malaysia

Diuji hilang sebelah mata, Mahathir kembali kejar impian

MUHAMMAD Mahathir Hakimi Mod Rosli ditemani Norzamira Abdul Aziz (kiri) mendaftar sebagai pelajar Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa UniSZA di Kuala Nerus, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Bagi kebanyakan pelajar baharu, hari pendaftaran di kampus adalah sekadar rutin memulakan pengajian, namun bagi Muhammad Mahathir Hakimi Mod Rosli, 21, ia simbol kemenangan melawan perasaan putus asa.

Mahathir merupakan seorang anak tunggal dari Semenyih, Selangor dan hadir di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini dengan ditemani ibu, bapa dan ibu saudaranya untuk mendaftar sebagai mahasiswa Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa, semalam.

Perjalanannya tidak mudah kerana Mahathir hampir menyerah setahun lalu apabila kehilangan penglihatan sebelah mata akibat letupan mercun semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Mercun yang dibakar sepupunya dipercayai mengalami kerosakan dan mengakibatkan letupan berlaku ke arah keluarganya, namun hanya Mahathir yang cedera.

“Selepas kejadian itu, saya rasa dunia saya seakan gelap. Saya berhenti belajar, tidak keluar bilik berbulan-bulan dan hilang keyakinan diri,” katanya.

Mahathir yang sebelum ini merupakan seorang pelajar yang aktif dan pernah menjawat jawatan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) Kampus Bachok, berubah sekelip mata akibat insiden itu.

Dengan sokongan ibunya, Norzamira Abdul Aziz, 56, ia menjadi penggerak utama untuk dia kembali bangkit.

“Ibu saya sentiasa berpesan setiap ujian ada hikmah dan dia yakin saya mampu hadapinya. Kata-kata itu yang buat saya kuat sampai saya dapat kembali ke sini sebagai pelajar,” katanya.

Mahathir masih menjalani rawatan susulan di hospital setiap dua bulan, namun tekadnya untuk kembali menuntut ilmu lebih besar daripada perasaan takut atau kesakitan.

“Bagi saya, hari ini bukan sekadar daftar universiti tetapi ia juga menjadi bukti saya bangkit selepas jatuh. Saya nak buktikan saya masih boleh berjaya walaupun ada kekurangan,” katanya.

Sementara itu, UniSZA turut mencatat sejarah apabila menerima tiga pelajar perempuan Orang Asli sebagai pelajar baharu bagi sesi akademik 2025/2026.

Ketiga-tiga mereka berasal dari perkampungan Orang Asli di Pahang dan Negeri Sembilan, masing-masing ditawarkan tempat dalam program sarjana muda pilihan mereka.

Syarina Edora Abrian, 21, memilih untuk melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah) manakala Rozefaelina Harun, 21, pula mendaftar dalam program Sarjana Muda Teknologi Makanan.

Turut mencuri perhatian ialah S. Puvana, 22, dari Jempol yang kini bergelar pelajar Sarjana Muda Pengimejan Perubatan.

UniSZA menerima kemasukan 2,627 pelajar baharu ijazah sarjana muda yang akan menjalani Minggu Mesra Siswa (MMS) selama lima hari bermula semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN