Penjenayah diburu sejak 19 tahun lalu berjaya diberkas - Utusan Malaysia

Penjenayah diburu sejak 19 tahun lalu berjaya diberkas

SHAFIEN Mamat (tengah) menunjukkan pistol dan pelbagai barangan lain yang dirampas daripada suspek dalam sidang akhbar di IPD Gua Musang hari ini.- UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lelaki yang ditahan selepas tertidur dalam sebuah kereta di tepi jalan di Kampung Kubang Edang, Melor, Kota Bharu pagi Isnin lalu, rupa-rupanya penjenayah yang dikehendaki polis sejak 2003.

Suspek berumur 38 tahun ditahan dalam keadaan ‘lalok’ oleh pasukan Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan kira-kira pukul 9.30 pagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, polis turut merampas sepucuk pistol semi auto Zaroki, dua kelopak berisi 10 butir peluru 9mm, dua pedang samurai dan segelen ubat batuk dalam kereta Honda Civic milik suspek.

“Susulan penahanan suspek, polis membuat serbuan di rumahnya kira-kira 200 meter dari lokasi dan merampas 10,000 biji pil Epam bernilai RM30,000 serta wang tunai RM54,000 dipercayai hasil jualan dadah.

“Dua telefon bimbit juga dirampas selain kita turut menyita kereta Honda Civic yang dianggarkan bernilai RM40,000,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini hari ini.

Menurut Shafien, suspek sebelum ini pernah ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) pada 2003, namun, berjaya melarikan diri dengan meninggalkan dokumen pengenalan diri.

“Selepas kejadian itu pihak polis memburu suspek di merata tempat, namun, dia gagal dikesan sehinggalah berjaya ditangkap Isnin lalu.

“Suspek mempunyai rekod jenayah lampau dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak sekian lama dan hasil ujian saringan mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 8 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat), Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas dia memberhentikan kenderaan di tengah-tengah jalan sebelum tertidur dalam keretanya hingga awal pagi. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya