SEREMBAN: Empat individu berusia lingkungan 33 hingga 35 tahun dikehendaki polis bagi membantu siasatan berkaitan jenayah komersial iaitu penipuan pelaburan melibatkan dua serbuan di Nilai pada November tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, pada 13 November dan 19 November tahun lalu, polis telah menjalankan beberapa serbuan bersabit kes penipuan pelaburan di Nilai dan seramai 11 orang telah ditangkap.
Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan telah mengenal pasti 51 kes penipuan pelaburan yang menggunakan nama Vantage Fx Investment dan Vanguard Investment yang melibatkan jumlah kerugian berjumlah RM950,981.14
“Seramai sembilan daripada 11 orang ahli sindiket yang ditangkap kini direman di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan masih dalam tindakan dan siasatan pihak polis serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Bagaimanapun, polis ingin mendapatkan kerjasama orang ramai bagi memberikan maklumat berhubung empat individu iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan yang diperlukan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Aibee berkata, individu pertama yang dikesan ialah Shawn Lee Kim Boon, 33, dengan alamat terakhirnya ialah di Klang Selangor.
Individu kedua pula ialah Seow Ka Khan, 34, beralamat terakhir di Petaling Jaya, Selangor dan individu ketiga pula ialah Muhammad Shalihin Hussein, 35, beralamat terakhir di Jalan Putramas, Kuala Lumpur.
Individu keempat dikehendaki ialah Seow Siew Yan, 34, dengan alamat terakhir di Taman Sentosa, Klang, Selangor.
“Individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Sarjan Addiean Gidius di talian 019-8973218 bagi membantu menyelesaikan siasatan yang sedang dijalankan,” kata beliau lagi. -UTUSAN ONLINE