Penyamun menyorok dalam tangki air rumah pangsa - Utusan Malaysia

Penyamun menyorok dalam tangki air rumah pangsa

SUSPEK keluar dari tangki air sebuah rumah pangsa di Taman Bukit Melaka, Melaka selepas dikesan pihak polis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis terpaksa meminta bantuan bomba untuk mengeluarkan seorang penyamun yang bertindak terjun ke dalam tangki air sebuah rumah pangsa bagi mengelak dicekup di Taman Bukit Melaka di sini, kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, suspek yang berusia 35 tahun bersembunyi dalam tangki tersebut selama 30 minit sebelum berjaya dikesan pihak polis. 

Turut ditahan dalam serbuan itu adalah tiga lagi rakan suspek berusia 32, 34 dan 43 tahun yang dipercayai aktif melakukan jenayah samun bersenjatakan parang di sekitar Ayer Keroh. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dua serbuan berasingan dilakukan susulan polis menerima tiga laporan kejadian samun di kawasan Ayer Keroh dan Batu Berendam pada 9 hingga 15 Januari lalu.

“Dalam serbuan Taman Bukit Melaka, salah seorang suspek yang diburu bertindak terjun ke dalam tangki air untuk bersembunyi selepas menyedari kehadiran pihak polis. 

“Kita percaya suspek telah bersembunyi di dalam tangki itu selama 30 minit sebelum dikeluarkan dan diberkas dengan bantuan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi suspek adalah menyasarkan golongan warga asing untuk melakukan samun. 

“Geng ini akan menyerang mangsa berusia 20 hingga 40-an dan melarikan wang tunai, telefon bimbit serta beberapa dokumen penting. 

“Dalam tangkapan itu, kita turut merampas dua buah kenderaan, dua bilah parang dan empat unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam jenayah tersebut,” katanya.

Katanya, keempat-empat suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394, 395/397 Kanun Keseksaan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN