PORT DICKSON: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berbangga apabila diberikan keutamaan dalam pelaksanaan inisiatif subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) yang bermula hari ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, keutamaan diberikan itu merupakan pengiktirafan yang diberikan kerajaan buat setiap warga ATM dan juga anggota polis
“Saya percaya setiap warga ATM dan juga PDRM amat-amat bebesar hati serta berterima kasih kepada pihak kerajaan di atas keprihatinan dan juga pengiktirafan yang diberikan.
“Saya harap juga kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan atau melihat kepada kebajikan dan kesejahteraan anggota-anggota pasukan keselamatan khususnya daripada ATM,” katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 203/2025 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang anggota tentera, Pegawai Waran 1, Mohamad Salleh Kosnon, 41, berkata, dia amat berterima kasih kepada kerajaan membantu meringankan beban serta kos minyak bagi berulang-alik secara mingguan ke Kluang, Johor.
“Saya nak motosikal sahaja, sekali hala isi tu ada dalam RM20 dan selepas ini tentulah kos akan berkurangan.
“Penggunaan minyak saya juga tidak lebih 300 liter sebulan dan membolehkan saya menikmati sepenuhnya subsidi ini,” katanya yang memberitahu proses menebus subsidi itu juga mudah dan cepat. – UTUSAN










