JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis kerana dipercayai melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak di sebuah kedai serbaneka di Ulu Tiram, pada pukul 1.20 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa berusia 42 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada pukul 10.33 malam tadi.
Katanya, mengikut laporan itu, wanita terbabit mendakwa bahawa semasa anak perempuannya berusia lapan tahun berada di kedai terbabit telah didatangi suspek yang merupakan pekerja di kedai itu.
“Lelaki warga asing itu yang bekerja di premis tersebut telah memegang bahu dan meraba bahagian perut mangsa dalam kejadian pukul 7.50 petang, kelmarin.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seri Alam telah membuat tangkapan terhadap lelaki yang berusia 33 tahun itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Rabu depan untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Suspek boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat, jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE