TELUK INTAN: Polis menemukan mayat lelaki dipercayai mengalami masalah kemurungan yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu di tepi Sungai Chikus, Ladang Selinsing Changkat Petai di sini hari ini.
Mayat lelaki berusia 36 tahun itu ditemukan dalam keadaan tergantung pada pokok kira-kira empat kilometer dari lokasi motosikalnya ditinggalkan di kawasan kebun kelapa sawit di Alor Bakong, Langkap.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mayat lelaki terbabit yang dijumpai pada pukul 2.30 petang telah dicamkan oleh ahli keluarganya.
“Mayat lelaki itu ditemui tergantung dengan tali pada sebatang pokok iaitu pada jarak empat kilometer dari tempat motosikalnya ditinggalkan.
“Lelaki itu dipercayai telah meninggal dunia sejak tiga hari lalu disyaki bunuh diri berdasarkan keadaannya ketika ditemukan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan telah dijalankan di lokasi kejadian oleh pasukan forensik dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan kes disiasat semula di bawah mati mengejut untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Lelaki itu dilaporkan hilang setelah tidak pulang ke rumahnya di Taman Desa Maju Perak dekat Langkap sejak Selasa lalu.
Kehilangan lelaki itu disedari isterinya kira-kira pukul 1 petang hari yang sama sebelum wanita itu dimaklumkan oleh abang mangsa yang menjumpai motosikal dan telefon bimbit adiknya di kawasan kebun kelapa sawit Alor Bakong, kelmarin.
Tempat barang mangsa dijumpai kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.- UTUSAN ONLINE










