KUANTAN: Seorang lelaki sekelip mata hilang wang simpanan sebanyak RM13,760 apabila terpedaya dengan sindikit Macau Scam yang menjanjikan pembelian kenderaan tidak wujud.
Kejadian bermula Sabtu lalu, apabila mangsa berusia 37 tahun itu melayari laman sosial Facebook sebelum melihat iklan menjual kenderaan di Bentong, dekat sini.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berminat dengan tawaran pembelian kereta jenis Perodua Alza yang berharga RM40,000 menerusi iklan Facebook Alza CK Enterprise.
Menurutnya, mangsa mula berurusan menerusi aplikasi Whatsapp dengan seorang suspek kononnya jurujual yang memperkenalkan diri sebagai Rizal.
“Setelah melakukan urusan jual beli mangsa mula membuat pemindahan wang ke dalam akaun bank syarikat yang diberikan suspek.
“Dengan pelbagai alasan diberikan berkaitan urusan jual beli tersebut mangsa telah terpedaya dengan melakukan 11 kali transaksi kepada suspek yang berjumlah RM13,760.
“Selepas wang dimasukkan, Rizal beritahu kereta akan dihantar kepada mangsa, namun, sehingga kini, masih tidak menerima kenderaan yang kononnya dibeli,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Modus operandi yang digunakan suspek memperdaya mangsa dengan menawarkan penjualan kereta yang tidak wujud sehingga mengalami kerugian.
Mohd. Wazir berkata, mangsa yang merasakan ditipu sindikit tersebut telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong semalam.
“Siasatan lanjut akan dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 kerana menipu,” katanya. -UTUSAN ONLINE