ALOR SETAR: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan seorang lelaki yang dipercayai mengambil upah meratakan tanah secara haram untuk menanam pokok getah di Hutan Simpan Genting Iboi, Padang Terap dekat sini semalam.
Pengarahnya, Muhamad Abdullah berkata, lelaki tempatan berusia 47 tahun itu ditahan dalam satu serbuah di hutan simpan tersebut pada pukul 4.30 petang.
“Pasukan bertugas melakukan serbuan selepas menerima aduan awam, hasil pemeriksaan mendapati kira-kira enam hektar tanah telah diratakan dipercayai dilakukan sejak tiga hari lalu.
“Akibat kegiatan meratakan tanah dan memusnahkan pokok-pokok hutan secara haram, kerugian dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhamad berkata, lelaki terbabit kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk siasatan lanjut oleh JPNK.
Tambahnya, sebuah jentolak yang digunakan untuk kerja-kerja merata dan membersihkan tanah turut disita untuk membantu siasatan.
“Kes akan disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu di bawah Seksyen 81(1)(b) kerana menebang, memotong, menggelang, menanda, menutuh atau menoreh mana-mana pokok atau merosakkan dengan api.
“Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Selain itu, Muhamad berkata, kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh hutan simpanan kekal dan Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran.
Katanya, dua seksyen berkenaan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan denda masing-masing tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“JPNK amat komited dan memandang serius aktiviti pencerobohan dan penerokaan Hutan Simpanan Kekal dan akan melaksanakan pendakwaan terhadap individu-individu yang melakukan kesalahan. -UTUSAN ONLINE