Kerana cinta kepada Aziz, wanita rugi RM60,000 - Utusan Malaysia

Kerana cinta kepada Aziz, wanita rugi RM60,000

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Impian seorang tukang masak untuk berumah tangga akhirnya berkecai akibat terpedaya dengan janji kosong teman lelakinya yang konon menetap di luar negara.

Mangsa berusia 45 tahun dari Peramu, dekat sini, mengalami kerugian sehingga RM60,000 apabila bertindak memasukkan wang simpanannya ke dalam akaun lelaki berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula sekitar Jun lalu, apabila mangsa berkenalan dengan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Aziz Mohamad melalui media sosial.

Menurutnya, sepanjang berkenalan, suspek bertindak melayan mangsa dengan sehabis baik sehingga berjanji untuk berkahwin mangsa.

“Namun begitu, setelah lama berkenalan dan membuat janji temu, suspek mula mengatur strategi untuk menipu mangsa dengan meminjam wang daripadanya.

“Suspek memaklumkan mahu meminjam wang daripada mangsa kerana kad bank miliknya mengalami masalah dan berjanji akan membayarnya semula.

“Malah, sepanjang tempoh Jun hingga kini, mangsa telah membuat 30 transaksi ke empat akaun berbeza berjumlah kira-kira RM60,000, namun, sehingga kini, belum menerima wangnya semula,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Wazir berkata, mangsa juga sering diperdaya dengan resit palsu yang diterimanya daripada suspek.

“Mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas mendapati semua wang simpanannya sudah habis. Susulan itu mangsa segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN