KUANTAN: Gara-gara ketakutan apabila dituduh terlibat aktiviti pengubahan wang haram dan penjualan dadah, seorang guru lesap RM30,000 wang simpanannya akibat ditipu sindikit Macau Scam, semalam.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, hasil siasatan kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon pada pukul 2.30 petang daripada seorang wanita bernama Amy Janes kononya pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Alor Setar, Kedah.
Menurutnya, suspek memaklumkan nama mangsa digunakan untuk pendaftaran sebuah syarikat enterprise dan syarikat terbabit didapati gagal membayar tunggakan cukai selama 15 bulan berjumlah RM17,600.76.
“Dalam hal tersebut, pada mulanya mangsa menafikan membuat pendaftaran syarikat seperti didakwa dan suspek telah mencadangkan agar mangsa membuat laporan polis.
“Kemudiannya, panggilan mangsa disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Sarjan Rizal Yaakop kononnya cuba membantu menyelesaikan aduan mangsa.
“Setelah mangsa memberi butiran kad pengenalan bagi tujuan semakan, mangsa didapati terlibat dengan kes jenayah iaitu pengubahan wang haram, seterusnya menjual akaun syarikat atas namanya itu kepada kumpulan penyeludupan dadah dan mereka telah ditangkap di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, permainan mereka diteruskan lagi dengan menyambungkan panggilan mangsa kepada seseorang yang bertindak sebagai pegawai bahagian siasatan pengubahan wang haram dengan tujuan mahu menjalankan siasatan secara terperinci ke atas akaun milik mangsa.
“Mangsa diminta memberikan kerjasama dengan melakukan pemindahan kesemua wang miliknya ke dalam akaun yang diberikan dan memberi jaminan akan mengembalikan wang selepas menjalankan proses pemeriksaan ke atas akaun mangsa.
“Kira-kira pukul 4.30 petang, hari yang sama mangsa telah membuat pemindahkan wang sebanyak RM30,000 secara dalam talian.
“Selepas, memindahkan wang tersebut, mangsa tidak menerima sebarang panggilan daripada suspek dan cubaan menghubunginya juga gagal,” katanya.
Katanya lagi, setelah merasakan dirinya ditipu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Cameron Highlands.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. -UTUSAN ONLINE