Tak berjaya angkut syabu, heroin RM2.1 juta - Utusan Malaysia

Tak berjaya angkut syabu, heroin RM2.1 juta

ABDULLAH (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Tumpat hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Polis merampas dadah jenis syabu dan heroin bernilai hampir RM2.1 juta yang ditinggalkan dua warga asing di atas tebing batu kuala sungai di Taman Tengku Anis di Pengkalan Kubor di sini kelmarin.

Kesemua dadah yang berada dalam dua bungkusan plastik ditemukan ketika polis menjalankan pemantauan dan rondaan sempena Ops Tapis kira-klira pukul 4.30 petang.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, pada mulanya, anggota polis melihat dua lelaki dipercayai warga asing menaiki bot enjin galah menghampiri tebing, sebelum berlalu pergi menuju ke arah Tak Bai, Thailand.

Katanya, curiga dengan tindakan mereka, anggota polis segera ke lokasi tersebut sebelum menjumpai dua bungkusan plastik yang ditinggalkan di atas batu tebing kuala sungai.

“Salah satu bungkusan didapati mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 36 kilogram bernilai kira-kira RM1.36 juta manakala satu lagi bungkusan berisi 8.4 kilogram heroin bernilai RM780,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini hari ini.

Menurut Abdullah, polis terus melakukan intipan sehingga pukul 8 pagi semalam iaitu dalam tempoh 15 jam, namun, tiada individu hadir untuk mengangkut dua bungkusan plastik itu dalam tempoh tersebut.

“Berdasarkan siasatan, 80 peratus bekalan dadah itu dipercayai akan dijual di Lembah Klang manakala selebihnya untuk pasaran negeri ini dan ia boleh dibekalkan kepada 222,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya