Padah ‘merempit’ hari pertama PKPD - Utusan Malaysia

Padah ‘merempit’ hari pertama PKPD

SERAMAI 31 remaja ditahan dan 20 motosikal disita dalam Op Khas Motosikal yang dijalankan di Jalan Sultan Alauddin, Bandar Sultan Suleiman, Klang. - Gambar IPD KLANG UTARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seramai 31 remaja berusia antara 13 hingga 23 tahun termasuk seorang wanita ditahan polis akibat keluar tanpa kebenaran dengan menunggang motosikal ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Selangor.

Dalam Operasi (Op) Khas Motosikal yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara semalam, sebanyak 26 buah motosikal ditahan untuk pemeriksaan dan 20 daripadanya disita atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Malah, terdapat beberapa penunggang dan pembonceng motosikal cuba melarikan diri untuk mengelak daripada melalui sekatan jalan raya (SJR), namun, mereka semua berjaya dikepung dan ditahan.

Menurut Ketua Polisnya, Nurulhuda Mohd. Salleh, kesemua mereka dikenakan tindakan dalam Op Khas Motosikal pada pukul 5.30 petang hingga 10.30 malam di Jalan Sultan Alauddin, Bandar Sultan Suleiman di sini.

“Sebanyak 76 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalulintas serta 20 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987.

“Kompaun telah dikenakan kepada 22 orang di bawah peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 kerana berkumpul di tempat awam dan keluar tanpa hala tuju,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau menambah, operasi sedemikian akan terus dijalankan dalam tempoh PKPD bagi membendung kegiatan lumba haram dan menyeru ibu bapa dan penjaga memantau pergerakan anak-anak terutama dalam tempoh pelaksanaan PKPD yang berlangsung selama 14 hari sehingga 16 Julai ini.

“Masyarakat disarankan supaya tidak terlibat dengan kegiatan lumba haram dan ibu bapa hendaklah memantau pergerakan anak-anak agar tidak terlibat dengan lumba haram, berkumpul dan keluar rumah tanpa tujuan.

“Pihak polis IPD Klang Utara akan menjalankan operasi dan penguatkuasaan berterusan bagi membendung kegiatan lumba haram terutama dalam tempoh PKPD,” tegasnya. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya