Ketua balai, tiga anggota berhibur dengan empat wanita digantung tugas serta-merta - Utusan Malaysia

Ketua balai, tiga anggota berhibur dengan empat wanita digantung tugas serta-merta

ARJUNAIDI MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua Balai Polis dan tiga anggota yang leka berhibur bersama empat wanita dalam bilik khas di sebuah balai polis dalam daerah Kajang digantung tugas serta-merta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua anggota berkenaan turut ditukarkan serta-merta ke Bahagian Pentadbiran, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Kita sudah tukar ketua balai dan tiga anggota berkenaan serta-merta dan mereka juga digantung tugas sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kelmarin, lapan termasuk Ketua Balai Polis serta tiga anggotanya yang leka berhibur bersama empat wanita dalam bilik khas di sebuah balai polis dalam daerah Kajang ditahan.

Serbuan pukul 6 petang dijalankan pasukan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman susulan laporan daripada orang awam.

Ketika serbuan, sebahagian mereka didakwa sedang menari sambil minum minuman keras serta air ketum dalam sebuah bilik di tingkat dua balai berkenaan.

Bilik yang dijadikan tempat `berseronok’ itu turut dipasang lampu berputar bagaikan dalam disko.

Pemeriksaan mendapati kesemua mereka terdiri daripada seorang ketua balai polis berpangkat Sub Inspektor, dua Koperal dan seorang Koperal Sokongan serta empat wanita orang awam berusia 21 hingga 37 tahun.

Polis merampas botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon dan satu unit TV.

Turut dirampas lima botol air ketum serta gambar lucah salah seorang anggota yang ditahan bersama seorang wanita.

Menurut Arjunaidi, empat wanita yang ditahan bersama mereka turut disiasat dan diambil tindakan seperti biasa termasuk dibawah kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan ketika pandemik Covid-19.

“Empat wanita itu bukan anggota kita dan kita ambil tindakan seperti biasa termasuk di bawah kesalahan SOP dan jika ada berkait dengan air ketum, kita juga akan ambil tindakan.

“Buat masa ini, siasatan masih dijalankan seperti biasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pegawai dan anggota polis di negeri itu agar mengikuti peraturan ditetapkan atau berani menanggung kesan dan akibatnya jika mereka melakukan sebaliknya.

Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi langsung dengan mana-mana pegawai dan anggota yang bertindak melanggar peraturan dan disiplin.

“Siapa buat (kesalahan), dia tanggung,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya