PETALING JAYA : Kompaun sebanyak RM10,00 dikenakan terhadap sebuah kedai menjual durian Taman Industri Bolton, Batu Caves dekat sini selepas beroperasi dengan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.
Dalam serbuan kira-kita pukul 4 petang semalam, pihak polis menerima maklumat mengatakan sebuah kedai menjual durian terbabit beroperasi dengan tidak patuh kepada SOP MKN.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan Team Pematuhan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membuat pemeriksaan di kedai berkenaan.
“Semakan mendapati kedai tersebut mempunyai surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) (Perkhidmatan Produk Makanan dan minuman) untuk beroperasi.
“Namun begitu, didapati jumlah pekerja yang bekerja di kedai itu melebihi kapasiti yang ditetapkan oleh MKN,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, tindakan Kompaun RM10,000 mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dikeluarkan kepada majikan kerana gagal memastikan kapasiti pekerja mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN.-UTUSAN ONLINE










