Ditahan polis ketika asyik bermain judi 'Tai Kee' - Utusan Malaysia

Ditahan polis ketika asyik bermain judi ‘Tai Kee’

SUSPEK lelaki dan wanita (duduk) leka berjudi jenis 'Tai Kee' yang ditahan oleh polis Jabatan Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Daerah Lipis di sebuah taman perumahan di Benta, Lipis, Pahang. - IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Leka bermain mahjong di ceruk dapur menyebabkan tiga orang lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 40 tahun hingga 59 tahun ditahan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Lipis dalam satu serbuan di Taman Mutiara Indah Taman Benta Jaya, Benta, dekat sini.

Ketika serbuan pada pukul 5.20 petang semalam, polis memasuki rumah berkenaan dan terus ke ruang dapur serta mendapati keempat-empat suspek duduk menghadap sebuah meja kayu bulat dan sedang asyik bermain judi menggunakan buah mahjong.

Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, ketika serbuan, suspek begitu leka bermain mahjung sehingga tidak menyedari kehadiran polis di rumah itu dan pegawai yang mengetuai operasi terus memperkenalkan diri serta meminta kad pengenalan diri keempat orang suspek untuk diperiksa.

“Polis turut merampas pelbagai peralatan berjudi iaitu empat buah kerusi plastik, 184 buah batu mahjong, dua biji buah dadu, 20 helai kertas minyak, dua keping cip besar, 16 keping cip hijau, 22 keping cip ungu, dua keping cip kuning dan wang tunai berjumlah RM1,485 yang dipercayai sebagai pertaruhan judi berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek yang ditahan disyaki bermain permainan judi jenis ‘Tai Kee’ berasaskan barang kes yang dirampas menunjukkan bagi maksud kegiatan perjudian tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, polis terus menahan suspek judi berkenaan serta kesemua peralatan berjudi serta beberapa bukti kes tersebut dan mereka akan disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Pegawai yang mengetuai operasi ini juga menjelaskan sebab tangkapan dan rampasan peralatan berkenaan kepada empat suspek terbabit dalam bahasa yang lebih mudah difahami serta menerangkan hak-haknya yang diperuntukan di bawah Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya.

Dalam pada itu, Azli menambah kesemua suspek judi masing-masing dikompaun RM1,500 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal serta berkumpul dan telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 18 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN