SHAH ALAM: Siasatan berhubung ibu kepada usahawan popular, Neelofa berkaitan hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melalui laman sosial Instagram di peringkat akhir dan kini hanya menunggu laporan teknikal.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, setakat ini, pihaknya mengambil keterangan daripada tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung perkara tersebut.
“Semua keterangan telah diambil dan hanya menunggu laporan teknikal sahaja sebelum merujuknya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
“Namun, kita menjangkakan tempoh untuk menerima laporan teknikal tidak lama. Kes ini diambil alih oleh Selangor susulan berlaku di negeri ini,” katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini, Datin Noor Kartini Mohamed hadir memberi keterangan dua jam di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Polis memulakan siasatan berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor melalui laman sosial Instagram milik Noor Kartini selepas laporan dibuat pemilik akaun tersebut.
Bagaimanapun, siasatan awal mendapati hantaran yang memaparkan gambar laporan berita disiarkan TV3 bertajuk Sultan Johor Cadang Sekatan Penuh Bersasar itu dimuat naik wanita berusia 32 tahun dipercayai pengurus media sosial syarikat milik Noor Kartina.
Individu terbabit dikatakan tersilap menggunakan akaun Instagram milik ibu Neelofa dengan membuat hantaran melalui medium ‘IG Story’.
Susulan itu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Dalam perkembangan lain, Arjunaidi memaklumkan, pihaknya menyerahkan kertas siasatan berhubung tindakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ziarah Aidilfitri pada majlis sambutan hari raya di rumahnya di Tanjung Sepat, Kuala Langat dekat sini baru-baru ini kepada pejabat DPP.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada pejabat DPP dan hanya menunggu jawapan daripada mereka,” ujarnya.- UTUSAN










