Kaya-raya hasil jual ketum

Kaya-raya hasil jual ketum

SURINA Saad ketika menyertai operasi menebang pokok ketum di kawasan Felda di Perlis pada 19 Oktober lalu. – UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Memang ada yang sudah menjadi jutawan selain hidup mewah dengan hanya tanam dan jual ketum yang mendapat permintaan tinggi.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad mengakui pulangan besar penanaman ketum dan menyifatkan perkara itu tidak akan selesai selagi tiada undang-undang mengharamkan penanamannya.

Menurut beliau, denda sekitar RM1,000 sehingga RM2,000 langsung tidak menakutkan pesalah ketum untuk terus melakukan aktiviti tersebut.

“Macam mana tak jadi jutawan kalau ada dalam kalangan pengedar boleh jual sehingga 1,000 hingga 2,000 kilogram ketum sehari. Kalau diseludup ke Thailand dengan harga sekitar RM100 sekilogram, membawa pulangan lumayan sekitar RM100,000 sehari.

“Ramai sudah kaya-raya dengan hasil jualan ketum ini. Jumlah sebenar saya tiada rekod, tapi saya boleh jamin memang ada yang sudah bergelar jutawan. Kalau kena tangkap, denda sekitar RM1,000 atau RM2,000 dengan mudah mereka bayar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan kegiatan penanaman, pengedaran dan pemprosesan ketum di negara ini jika tidak dikawal akan melahirkan sindiket dan individu yang hidup atas keuntungan aktiviti haram seperti raja dadah dunia, Pablo Escobar.

Mengulas lanjut, Surina berkata, jika kerajaan tidak mahu ketum diperdagang atau disalah guna kena ada undang-undang yang sesuai mengatasi masalah ini.

“Kalau tidak, ini akan terus berlarutan dan Perlis sebelum ini setiap hari hmembuat rampasan antara 1,000 hingga 1,800 kilogram sehari dan jumlah tersebut perkara biasa.

Bagaimanapun, katanya, selepas tindakan menebang pokok ketum dilaksanakan di kawasan Felda jumlah rampasan menurun sekitar 500 hingga 300 kilogram sehari.

“Dari situ kita nampak jika ada undang-undang pengharaman tanaman pokok ketum, tidak mustahil masalah ketum dapat dibasmi sepenuhnya,” katanya.

Sebelum ini, maklumat diperoleh Utusan Malaysia mendakwa setiap bulan lebih 15,000 ketum bernilai RM9 juta diseludup ke Thailand.

Dianggarkan satu sindiket seludup ketum di negeri ini akan menjana pendapatan sehingga RM15,000 bersih sehari tanpa cukai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN