Ramai `hilang’ lari rumah, van putih rekaan semata-mata - Utusan Malaysia

Ramai `hilang’ lari rumah, van putih rekaan semata-mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ingin mencari kebebasan dan perselisihan faham dengan keluarga antara punca kes kanak-kanak hilang di negara ini.

Perkara itu didedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hasil siasatan dan kajian mereka mengenai trend kanak-kanak hilang.

Ini sekali gus menolak stigma masyarakat yang sering mengaitkan kes kanak-kanak hilang dengan penculikan atau perbuatan jenayah lain.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, daripada 909 kes yang dilaporkan, sebanyak 642 kes lari dari rumah manakala 183 kes lagi dilarikan penjaga yang sah.

Katanya, 22 kes lagi kanak-kanak hilang akibat kemalangan, diikuti menjadi mangsa jenayah (11), dilarikan penjaga tidak sah (4) dan 47 tidak diketahui punca.

“Sebelum ini, setiap kali ada berita kehilangan kanak-kanak, masyarakat sering dimomokkan dengan kehadiran van putih menculik mereka namun itu semua rekaan semata-mata.

“Bukan itu sahaja, ada segelintir pihak menokok tambah cerita yang mengaitkan kanak-kanak tersebut hilang dengan penjualan organ di negara jiran. Semua itu karut,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Siti Kamsiah memberitahu, statistik antara 2010 hingga 31 Mei 2020 menunjukkan, kehilangan membabitkan kanak-kanak Melayu mencatatkan jumlah tertinggi 552 kes, diikuti lain-lain bangsa (193), Cina (94) dan India (71).

Katanya, berdasarkan statitistik tersebut, 506 kes kehilangan kanak-kanak berlaku ketika mereka berada di tempat awam diikuti 336 kes di kawasan tempat tinggal masing-masing.

“Sepanjang tempoh itu, Selangor mencatatkan kes tertinggi 180 kes, Johor (148), Kuala Lumpur (112), Sabah (98) dan Sarawak (70).

“Selain itu, sebanyak 47 kes dilaporkan di Perak, Pahang (46), Pulau Pinang (43), Kelantan dan Kedah masing-masing (42), Negeri Sembilan (32), Melaka (23), Terengganu (13) serta Perlis (12),” jelasnya.

Dalam pada itu, Siti Kamsiah mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengambil berat dan memantau pergerakan serta pergaulan anak-anak mereka bagi mengelak kejadian tidak diingini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya