Polis Perlis rampas dadah RM500,000 dalam tempoh enam bulan - Utusan Malaysia

Polis Perlis rampas dadah RM500,000 dalam tempoh enam bulan

CHAN NGAI HO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dalam tempoh enam bulan sahaja sejak awal tahun ini, polis Perlis telah merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM512,696 termasuk menahan 177 pengedar dadah yang aktif di negeri ini.

Rampasan tersebut melibatkan dadah dari jenis heroin sebanyak 1,497.45 gram, ganja 53.25 gram, methamphetamine 1,029 gram, kodien 287.75 liter dan pil eramin 564 biji.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Chan Ngai Ho memberitahu, rampasan tersebut menunjukan peningkatan tinggi berbanding tahun lalu.

Katanya, dadah jenis heroin, methamphetamine, kodien dan pil eramin 5 mencatatkan peningkatan iaitu masing-masing naik sebanyak 670.14 gram, 84.77 gram, 102.05 liter dan 541 biji berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Selain pengedar dadah, Ngai Ho memberitahu, pihaknya turut menahan 328 individu memiliki dadah dan 548 orang yang didapati menyalahgunakan dadah.

“Tangkapan yang dilakukan juga melibatkan seorang pelajar sekolah menengah berumur 15 tahun dan individu paling berusia yang terlibat dengan dadah ini berusia 60 tahun.

“Pengumpulan maklumat risikan dan operasi di kawasan-kawasan panas bersama agensi berkaitan membantu membanteras masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambahnya, antara kawasan panas di negeri ini ialah Kuala Perlis, Kuala Sanglang, Panggas dan Padang Besar.

Katanya, maklumat daripada orang ramai di kawasan kampung sangat diperlukan bagi membantu mengawal masalah dadah dalam kalangan masyarakat.

“65 peratus populasi Perlis secara keseluruhan berada dalam gaya hidup kampung. Perhubungan baik antara jiran berjaya mengawal masalah dadah dan memudahkan polis mendapatkan maklumat berkaitan dadah berbanding di bandar besar,” katanya.

Bagaimanapun beliau memberitahu, masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini masih dalam keadaan terkawal.

“Sehingga kini, jumlah rampasan dadah di Perlis masih pada tahap biasa kerana pasaran dadah di negeri ini adalah rendah dan populasi penduduknya pula tidak tinggi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya