Dua sahabat antara 21 individu ditahan AADK Selangor - Utusan Malaysia

Dua sahabat antara 21 individu ditahan AADK Selangor

SEORANG pegawai AADK melakukan pemeriksaan terhadap dua orang suspek dalam operasi AADK Selangor di Petaling Jaya, awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kelekaan dua sahabat menghisap dadah di sebuah rumah membawa padah apabila mereka antara 21 individu ditahan dalam operasi dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor di sekitar Petaling Jaya dekat sini.

Operasi selama empat jam bermula pukul 9 malam itu menyasarkan rumah dan juga beberapa premis di daerah tersebut.

Menurut Ketua Pegawai AADK Daerah Petaling, Mazlinna Kassim, operasi tersebut disertai 48 anggotanya membuat pemeriksaan di lebih 10 rumah dan premis perniagaan di bandar itu.

“Ketika tiba di rumah tersebut, kedua-dua lelaki berusia 20-an tidak menyedari kehadiran pegawai AADK kerana sedang leka menghisap dadah. Kita turut menjalankan serbuan di beberapa premis perniagaan antaranya pusat hiburan dan bengkel motosikal. 

“Jumlah keseluruhan yang ditahan seramai 21 individu yang berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun. Operasi dijalankan AADK adalah setelah kita menjalankan siasatan selain menerima aduan daripada orang awam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mazlinna berkata, pihaknya telah menjalankan saringan ujian air kencing dan mendapati kesemua yang ditahan positif dadah jenis ganja dan methamphetamine.

“Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat AADK Selangor untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

“Sekiranya orang awam mengesyaki mana-mana individu atau tempat yang dijadikan sebagai sarang, diminta menyalurkan maklumat kepada AADK untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya