PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan mengutip bayaran tempat meletak kenderaan secara haram (ulat parkir) berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Maluri, Cheras, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia lingkungan awal 50-an itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang.
Pengesahan itu sekali gus menyusul selepas kegiatan ulat parkir di kawasan berkenaan mendapat perhatian ramai susulan beberapa perkongsian tular di media sosial.
Sementara itu, menerusi hantaran di Threads, akaun @parkitmalaysia memaklumkan seorang lelaki yang sebelum ini tular mengutip bayaran parkir di kawasan berkenaan ditahan polis.
Menurut hantaran itu, individu terbabit didakwa kembali menjalankan kegiatan mengutip bayaran parkir, meskipun pihak berkuasa melakukan pemeriksaan sehari sebelumnya.
Pengendali akaun berkenaan turut memaklumkan pihaknya membuat laporan polis dan menghubungi pihak berkaitan bagi menangani kegiatan tersebut.
“Pukul 1 petang, polis datang. Pukul 1.45 petang, disahkan polis sudah menangkap lelaki berbaju biru atau hijau yang diviralkan,” menurut hantaran itu.
Dalam pada itu, pengendali akaun berkenaan berharap polis meneruskan siasatan bagi mengenal pasti dalang sebenar kegiatan tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan kegiatan mengutip bayaran parkir tanpa kebenaran di Stesen MRT Maluri didakwa terus berulang apabila beberapa individu kembali menjalankan aktiviti itu meskipun kawasan berkenaan telah diserbu pihak berkuasa pada hari sebelumnya.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa individu terbabit kembali mengutip wang daripada pengguna tempat letak kereta pada waktu pagi. – UTUSAN








