DUN Duyong rekod bertambah hampir 1,000 pengundi baharu

DUN Duyong rekod bertambah hampir 1,000 pengundi baharu

MOHD. NOOR HELMY ABDUL HALEM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kira-kira 1,000 pengundi baharu direkodkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, menjadikan jumlah keseluruhan pengundi di kawasan itu kini mencecah 26,500 orang.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pertambahan itu turut melibatkan pengundi muda yang dilihat sebagai antara kelompok penting dalam menentukan corak pengundian pada pilihan raya kali ini.

Beliau berkata, komposisi pengundi di kawasan berkenaan terdiri daripada 64 peratus Melayu, 31 peratus Cina manakala lima peratus lagi India dan kaum lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ya, kita ada pertambahan sekarang. Kita ada lebih kurang 26,500 orang. Pertambahan itu hampir 1,000 orang daripada keseluruhan, termasuk pengundi muda.

“Kalau daripada populasi itu, 64 peratus Melayu, 31 peratus Cina dan lima peratus India serta lain-lain,” katanya ditemui selepas mengadakan program walkabout di Bukit Serindit bagi menyantuni penduduk setempat, termasuk golongan warga emas.

Mengulas peluang mendapatkan sokongan daripada pertambahan pengundi berkenaan, Mohd Noor Helmy berkata, beliau berharap kelompok itu turut memberikan sokongan pada PRN kali ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, populariti di media sosial bukan jaminan kemenangan dalam pilihan raya kerana keputusan sebenar bergantung kepada penilaian pengundi ketika berada di peti undi.

Katanya, pengaruh di media sosial tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan kerana setiap pengundi mempunyai pertimbangan tersendiri dalam menentukan calon pilihan mereka.

“Populariti di media sosial bukan segala-galanya. Yang penting, rakyat sendiri yang menilai kita dan menentukan pilihan mereka ketika mengundi,” katanya.

Menurutnya, pendekatan turun padang perlu diteruskan bagi memastikan beliau dapat mendengar sendiri pandangan dan keperluan penduduk, selain menyampaikan tawaran BN untuk masa depan Melaka.

Katanya, kunjungan ke kawasan berkenaan turut membolehkannya bertemu semula dengan penduduk yang pernah diziarahi sebelum ini, selain mendekati rumah yang belum sempat dikunjungi.

Mengulas perkembangan kempen selepas tiga hari berlangsung, Mohd Noor Helmy berkata, suasana setakat ini masih tenang bukan sahaja di Duyong, malah di seluruh Melaka.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu perlu terus dipantau memandangkan masih terdapat lebih seminggu sebelum tempoh berkempen berakhir.

“Kita lihat setakat hari ini semuanya tenang. Mungkin masih awal kerana baru tiga hari kempen berlangsung. Kita tengok bagaimana keadaannya dalam tempoh seminggu lagi,” katanya.

Beliau berkata, usaha kerajaan sepanjang lima tahun lalu dalam melaksanakan pembangunan negeri dan memenuhi keperluan rakyat juga akan menjadi antara perkara yang dinilai pengundi.

Katanya, BN turut mempersiapkan tawaran untuk masa depan Melaka menerusi manifesto yang bakal dibentangkan dalam tempoh terdekat.

“Kita mahu menawarkan sesuatu yang boleh dilaksanakan. Memang mudah untuk berjanji macam-macam, tetapi akhirnya kita perlu melihat sama ada janji itu mampu ditunaikan berdasarkan kemampuan yang ada,” katanya.

Menurutnya, manifesto berkenaan perlu mengandungi tawaran realistik dan mengambil kira keupayaan kerajaan untuk melaksanakannya sekiranya diberikan mandat oleh rakyat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini