5 anggota TUDM ditahan susulan lima bagasi dadah ditemukan di Pangkalan Udara Subang

5 anggota TUDM ditahan susulan lima bagasi dadah ditemukan di Pangkalan Udara Subang

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditahan polis selepas lima bagasi dan sebuah kotak dipercayai mengandungi dadah ditemukan di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), Pangkalan Udara Subang, kelmarin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penemuan itu dikesan petugas TUDM ketika menjalankan pemeriksaan rutin terhadap bagasi yang akan dimuatkan ke dalam pesawat.

Beliau berkata, penemuan berkenaan segera dilaporkan kepada Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM sebelum pihak berkenaan menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada kira-kira pukul 5.20 petang hari sama, pasukan PDRM tiba di lokasi dan mengesahkan bahan yang ditemukan merupakan dadah berbahaya.

“Kesemua lima bagasi dan sebuah kotak disita sebagai bahan bukti, manakala lima anggota TUDM yang disyaki terlibat ditahan polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, TUDM mengambil tindakan segera dengan menyerahkan kes berkenaan kepada PDRM untuk siasatan lanjut serta akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.

Beliau menegaskan Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah, termasuk yang membabitkan anggota pasukan keselamatan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota yang terbukti terlibat atau bersubahat,” katanya.

Jelasnya TUDM secara berkala melaksanakan pemeriksaan dalaman bagi memastikan organisasi sentiasa bebas daripada kegiatan dadah.

Katanya, penemuan kali ini merupakan yang pertama seumpamanya ketika pemeriksaan rutin dijalankan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini