KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, Chubb e, 27, selesa bergerak secara independen berbanding bernaung di bawah mana-mana label.
Menurut pemilik nama penuh Muhammad Sharul Ashlyn Awang Ashrul Affandy, perkara itu membolehkan dia menetapkan hala tuju muzik, strategi pemasaran tanpa membabitkan mana-mana pihak.
“Saya terbitkan sendiri lagu-lagu saya. Tiga tahun saya bergerak sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana label.
“Sebenarnya tak sukar pun. Cuma kita kena tahu hala tujuan kita. Sekarang ini pula zaman media sosial. Contoh lagu, adakalanya tunggu popular di media sosial barulah radio dan televisyen akan mainkan.
“Kalau nak pasarkan lagu, kita boleh buat sendiri. Cuma untuk lagu kita main di televisyen atau berkumandang di radio, itu perlu bantuan label,” katanya yang ditemui semasa majlis tayangan filem AI, Siluman: Dendam Harimau Jadian baru-baru ini.
Chubb e, yang dua tahun memberi tumpuan kepada bidang lakonan, kini kembali menghasilkan muzik baharu.
“Saya kembali membuat lagu selepas berehat panjang. Dalam tempoh itu, saya tidaklah berehat sepenuhnya, adalah melakukan kerja-kerja seni.
“Sekarang barulah saya kembali semula membuat muzik. Akan ada lagu baru, dan banyak lagu yang sudah ditulis cuma tunggu masa untuk dikeluarkan.
“Dalam masa sama saya juga berlakon, ada beberapa drama yang akan dikeluarkan namun saya perlahankan sedikit lakonan untuk memberi laluan kepada bidang muzik,” ujarnya.
Penyanyi yang dikenali menerusi lagu Biru Malam dan Serangan Radikal itu memaklumkan kepulangannya dalam bidang muzik adalah dengan harapan agar peminat mengenalinya sebagai penyanyi berbanding pelakon.
“Saya tidak rasa peminat lupakan saya. Cuma bila dah kembali dalam bidang muzik, saya mahu orang berikan tumpuan kepada hasil kerja saya dalam bidang nyanyian.
“Saya tidak mahu orang kenal saya semata-mata saya berkolaborasi dengan artis lain,” ujarnya. – UTUSAN











