Wanita dakwa dua anak dibuli rakan, ditampar guru - Utusan Malaysia

Wanita dakwa dua anak dibuli rakan, ditampar guru

NOR Azwani Ahamad menunjukkan kesan kecederaan yang dialami anaknya yang didakwa dibuli di sebuah sekolah menengah agama di Chemor dalam sidang akhbar di Tanjung Rambutan, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang wanita mendakwa dua anaknya menjadi mangsa buli rakan dan kekerasan oleh guru di sebuah sekolah menengah agama di Chemor di sini dalam dua kejadian berasingan pada Julai dan Ogos lalu.

Menurut Nor Azwani Ahamad , 43, dia telah membuat dua laporan polis mengenai kejadian tersebut dan berharap tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

“Anak lelaki saya yang berumur 18 tahun yang berada di sebuah bilik di sekolah berkenaan telah ditampar sebanyak enam kali dibahagian pipi oleh seorang guru.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seterusnya, guru itu menarik kolar bajunya dan menggenggam penumbuk dengan ugutan untuk menumbuknya,” katanya dalam sidang akhbar di Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Dia yang merupakan seorang pegawai penilai TVET fisioterapi mendakwa selepas kejadian tersebut, anaknya mengalami kesakitan dibahagian muka, pipi, mulut dan rahang.

“Anak saya juga mengadu rahangnya berbunyi apabila membuka mulut dan mengadu kesakitan,” katanya.

Jelasnya, seorang lagi anak lelakinya berumur 17 tahun didakwa juga telah dibuli di sekolah yang sama.

Nor Azwani mendakwa, anaknya telah ditampar sebanyak dua kali, ditumbuk dibahagian leher dan dua kali di muka sebelah kiri oleh rakan di asrama lelaki kerana dia enggan rambutnya digunting secara paksa.

Ujarnya, anaknya itu tidak mendapat sebarang rawatan di hospital atau klinik oleh pihak sekolah dengan alasan kejadian berlaku pada waktu malam.

“Anak saya berasa takut dan tertekan kerana telah dipukul sehingga mengalami kecederaan selain bimbang kejadian kembali berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah memaklumkan telah menerima dua laporan polis berkenaan kejadian tersebut.

Katanya, kes masih disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN