TANJUNG MALIM: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Yang turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Dalam sembah ucapannya, Shamsul Anuar berkata, projek pembinaan kompleks IPD baharu tersebut bermula pada 27 Disember 2017 di atas tapak seluas 11.34 hektar yang menelan belanja sebanyak RM85 juta.
Menurutnya, perasmian itu menandakan suatu lagi pencapaian penting dalam usaha kerajaan memperkukuhkan prasarana keselamatan dan meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan kepolisan kepada rakyat khususnya di daerah Muallim.
“Perkembangan pesat daerah Muallim yang merangkumi Tanjung Malim, Slim River, Behrang, Trolak, dan Proton City menuntut kesiapsiagaan pasukan polis yang jauh lebih dinamik.
“Selaras dengan pengisytiharan Muallim sedekad yang lalu, kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk membangunkan kompleks IPD Muallim yang moden bagi menyokong tanggungjawab PDRM yang kian mencabar,” katanya.
Menurutnya, kompleks tersebut di atas tapak seluas 11.34 hektar ini telah siap sepenuhnya pada 30 Jun 2025.
“Ia bukan sahaja bangunan pentadbiran malah ia adalah hab operasi yang dilengkapi dengan teknologi terkini, sistem komunikasi yang efisien, dan kemudahan sokongan yang kondusif,” katanya.
Jelasnya, penyerahan projek pada 15 Oktober 2025 merupakan detik bermulanya era baharu bagi pentadbiran dan operasi keselamatan di seluruh daerah Muallim.
“Kekuatan sebenar sesebuah institusi kepolisan itu tidak terletak pada tembok bata atau peralatan canggih semata-mata.
“Sebaliknya, kekuatan sebenar bersandarkan kepada keberanian, disiplin, dan integriti setiap anggota yang berkhidmat,” katanya.
Ujarnya, pembangunan fizikal ini perlulah disusuli dengan pembangunan modal insan yang unggul.
“Warga IPD Muallim memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab, selaras dengan kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat.
“Dalam mendepani cabaran jenayah moden dan ancaman keselamatan yang semakin kompleks, integriti harus menjadi perisai utama,” katanya. – UTUSAN











