BENTONG: Selepas berdepan pelbagai cabaran teknikal dan operasi sehingga pernah dikategorikan sebagai projek sakit dan mendapat perhatian khusus Perdana Menteri, Projek Membina dan Meroboh serta Menaik Taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak, di sini akhirnya disiapkan dengan kos kontrak RM72.115 juta.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang bermula pada 6 Ogos 2021 itu siap sepenuhnya pada 27 Julai 2026 dan kini diserahkan untuk dimanfaatkan sebagai pusat rawatan dan pemulihan individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Katanya, kemudahan baharu itu mampu menampung sehingga 500 klien selain menyediakan infrastruktur lebih menyeluruh, selamat, selesa dan kondusif bagi menyokong proses rawatan serta pemulihan penghuni.
“Projek seperti ini mempunyai makna yang sangat penting kerana bukan sahaja membantu meringankan beban emosi dan sosial keluarga, malah menyediakan infrastruktur yang menyeluruh, selamat, selesa dan kondusif untuk menyokong proses rawatan dan pemulihan penghuni,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Membina dan Meroboh serta Menaik Taraf PUSPEN Karak di sini, hari ini.
Nanta Linggi berkata, PUSPEN merupakan institusi di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang berperanan sebagai pusat rawatan dan pemulihan bagi individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam menyediakan infrastruktur yang selamat, berkualiti serta memenuhi keperluan pihak pelanggan.
“Skop projek ini merangkumi pembinaan dan naik taraf blok pentadbiran, blok rawatan, dewan serbaguna, 10 blok asrama, blok lawatan keluarga, dewan makan, blok kaunseling, blok detoks, setor berpusat dan masjid serta kemudahan sokongan berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan turut dilengkapi Blok Hal Ehwal Penghuni (HEP) dan Latihan Vokasional serta tiga blok bengkel membabitkan bengkel pertanian, jahitan dan kimpalan, termasuk bilik kuliah berhawa dingin.
Katanya, penyediaan kemudahan latihan berkenaan penting dalam membantu penghuni membina kemahiran yang boleh dimanfaatkan selepas mereka menamatkan proses pemulihan dan kembali kepada keluarga serta masyarakat.
“Dari aspek keselamatan, projek ini dilengkapi balai kawalan, menara kawalan, pagar anti-climb setinggi 4.8 meter dan 5.2 meter serta sistem CCTV yang dipantau secara berpusat,” katanya.
Kemudahan sokongan lain katanya, merangkumi sistem elektrikal dan mekanikal, pembentungan, tempat letak kenderaan, pentas berbumbung, rumah pam dan menara tangki air bagi memastikan operasi PUSPEN dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. – UTUSAN











