Program Dakwah Negara 2026 sasar penglibatan 10,000 peserta - Utusan Malaysia

Program Dakwah Negara 2026 sasar penglibatan 10,000 peserta

ZULKIFLI Hasan sewaktu merasmikan majlis pelancaran Program Dakwah Negara (PDN) 2026 dan Perasmian Permukiman Zamalah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peringkat Kebangsaan, di The Pearl, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 10,000 peserta disasarkan menyertai 500 program di bawah Program Dakwah Negara (PDN) 2026 yang berlangsung di seluruh negara dari 1 Oktober hingga 31 Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu bertemakan ‘Membangun Adab, Membina Negara’ dan akan dilaksanakan menerusi pelbagai aktiviti fizikal serta digital.

Menurutnya, pelaksanaan PDN 2026 memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu Adab Keluarga dan Pembangunan Insan, Adab Bermasyarakat dan Keharmonian, Adab Kepimpinan dan Kenegaraan, Adab Ilmu dan Pemikiran serta Adab Digital dan Media Sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Program itu akan diteruskan melalui pelbagai aktiviti dan inisiatif yang digerakkan di seluruh negara. Ini kerana, pelaksanaan program dakwah perlu memberi impak yang tinggi serta memenuhi keperluan semasa masyarakat, bukan sekadar tertumpu kepada penyampaian ilmu.

“Pemukiman kali ini adalah untuk mengenal pasti, memikir dan berwacana tentang perubahan yang berlaku serta bagaimana memastikan dakwah dan islah yang dilakukan berimpak tinggi dan memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar PDN 2026 dan Perasmian Permukiman Zamalah Yadim Peringkat Kebangsaan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pendekatan dakwah masa kini juga perlu mengambil kira perubahan teknologi kerana penggunaan teknologi dalam dakwah dan islah menjadi antara isu yang dibincangkan dalam pemukiman berkenaan.

Katanya, peranan dakwah juga perlu dilihat secara lebih menyeluruh termasuk dalam aspek pembangunan masyarakat dan pembinaan keharmonian kehidupan bersama, bukan hanya tertumpu kepada kelompok tertentu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN