PETALING JAYA: Kerajaan memperluas pelaksanaan Program Dapur Siswa Madani ke semua politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara menerusi peruntukan sebanyak RM20 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi menggalakkan penglibatan pelbagai pihak, kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai kepada mana-mana individu atau syarikat korporat yang menyumbang bahan makanan dan peralatan bagi tujuan program berkenaan.
“Menerusi peruntukan tersebut, program ini akan menyediakan kemudahan peralatan memasak, sumbangan bahan makanan asas serta penawaran Menu Kasih Siswa pada harga serendah RM5.
“Inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi memastikan setiap mahasiswa mendapat jaminan akses kepada penyediaan makanan yang mencukupi sepanjang tempoh pengajian,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini. –UTUSAN











