KUALA LUMPUR: Penganalisis keselamatan negara dan geopolitik, Khairil Hilmi Mokhtar teknologi asing terutamanya penggunaan aplikasi navigasi sewajarnya dinilai dan diteliti berikutan kebimbangan terhadap keselamatan negara, perlindungan data peribadi dan kedaulatan digital Malaysia.
Kahiril berkata, tindakan kerajaan Malaysia melarang penggunaan aplikasi berkenaan itu heboh diperbincangkan masyarakat, terutama daripada segi risiko keselamatan yang mungkin berlaku susulan kebergantungan terhadap teknologi yang dibangunkan dan dikendalikan pihak asing.
Tambahnya, aplikasi navigasi menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat, khususnya dalam menguruskan perjalanan kerana penyediaan maklumat trafik, laluan alternatif dan panduan menuju destinasi.
Bagaimanapun, kemudahan tersebut perlu diiringi jaminan terhadap perlindungan data peribadi, keselamatan maklumat serta pematuhan undang-undang di Malaysia.
“Kebergantungan terhadap perkhidmatan digital yang melibatkan pengurusan data peribadi dan bidang kuasa undang-undang negara ketiga perlu diteliti, terutama apabila wujud potensi implikasi terhadap keselamatan negara,” katanya.
Beliau berpandangan bahawa risiko penyalahgunaan maklumat lokasi dan data digital sensitif perlu diberi perhatian susulan perkembangan konflik di Asia Barat, termasuk laporan mengenai serangan bersasar dan pembunuhan yang dikaitkan dengan keupayaan agensi perisikan asing mengesan individu tertentu.
Katanya, kebimbangan itu bukan sahaja melibatkan individu dalam sektor pertahanan dan keselamatan negara, malah boleh merangkumi golongan profesional dalam bidang strategik seperti kejuruteraan, ekonomi dan penjagaan kesihatan.
Golongan berkenaan, jelasnya, mempunyai kepakaran dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, sekali gus menjadikan perlindungan terhadap maklumat sensitif satu keutamaan.
Sehubungan itu, Malaysia perlu terus memperkukuh keupayaan teknologi domestik bagi mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap teknologi dan kepakaran asing.
Mengulas kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran berkenaan, beliau berkata, pengakuan Perdana Menteri bahawa Malaysia masih belum bersedia sepenuhnya perlu dijadikan dorongan untuk menetapkan hala tuju yang lebih jelas dalam memperkukuh kedaulatan digital dan keselamatan siber.
Dalam pada itu, usaha membangunkan kepakaran tempatan serta keupayaan sendiri dalam teknologi navigasi digital wajar diberikan perhatian, meskipun pelaksanaannya berdepan cabaran dari segi teknologi, operasi dan institusi.
Menurutnya, usaha itu bukan sekadar bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi asing, sebaliknya membuka peluang untuk memperkukuh autonomi strategik, merangsang inovasi tempatan serta membangunkan penyelesaian digital bertaraf dunia yang selamat dan boleh dipercayai.











