PETALING JAYA: Pelakon, Farah Ahmad kurang senang apabila kejayaan anaknya,
Mhia Firdaus memboloskan diri dalam senarai pencalonan kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Golden Horse ke-63 dikaitkan dengan label ‘nepo baby’.
Kongsi Farah, kejayaan Mhia menerusi filem Sayang Sayang tidak bersandar kepada dirinya tetapi usaha dan minat yang ditunjukkan anaknya sejak dulu.
“Untunglah sebab latar belakang keluarga. Itu yang selalu diperkatakan bagi ‘Nepo Baby’.
“Tapi hakikatnya, pelajar saya jauh lebih beruntung kerana apabila belajar lakonan, saya mengajar dari A hingga Z, terangkan itu ini sampai faham. Itu pun ada yang masih tidak faham,” luahnya menerusi hantaran di Threads.
Menceritakan tentang minat Mhia, Farah mendedahkan dia tidak pernah ‘menyuap’ ilmu lakonan secara teknikal kepada anaknya itu sejak kecil. Malah, dia akan membiarkan Mhia meneroka sendiri rasa yang diperlukan untuk bergelar pelakon.
“Ingat lagi masa kecil, Mhia tanya mama macam mana nak berlakon menangis. Saya hanya jawab: ‘Rasa dan Fikir’. Itu sahaja jawapan saya.
“Dalam hati saya tak tahu apa yang anak saya fikirkan, tapi kadangkala nampahlah Mhia ‘fefeling’ berlakon menangis. Saya biarkan sahaja supaya dia tahu bagaimana mekanisme badan dia sendiri untuk faham apa itu ‘rasa’, bukan sekadar lakonan semata-mata,” jelasnya lagi.
Dalam hantaran berbeza, Farah berkata, pencalonan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap usaha keras Mhia, namun tetap mengingatkan anaknya agar tidak leka dengan pujian.
“Walaupun baru pencalonan, tapi perjalanannya tidak senang. Buat anakku Mhia, mama sentiasa berada di sisimu. Teruslah mencari ilmu.
“Ya Allah, rahmati dan berkati usaha anak-anak aku dalam mencari ilmu-Mu. Amin,” katanya. -UTUSAN











