KMP buat laporan polis, aduan MCMC berhubung penghinaan terhadap petugas media

KMP buat laporan polis, aduan MCMC berhubung penghinaan terhadap petugas media

PRESIDEN Kelab Media Putrajaya (dua dari kiri), Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan bersama ahli KMP selesai membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kelab Media Putrajaya (KMP) membuat laporan polis dan aduan secara dalam talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tindakan sebuah akaun media sosial yang didakwa menghina sekumpulan petugas media ketika menjalankan tugas membuat liputan.

Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Presint 7, di sini hari ini, sementara aduan kepada MCMC dilakukan secara dalam talian untuk tindakan lanjut susulan janaan sekeping gambar memaparkan petugas media yang telah diubah menjadi seperti haiwan.

Dipercayai gambar asal itu dirakam ketika kumpulan jurugambar dan wartawan sedang menjalankan liputan ziarah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke pusara isterinya, Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara, Putrajaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Imej berkenaan turut disertakan dengan kapsyen ‘Akal waras semakin sukar ditemui’ yang dianggap sebagai penghinaan terhadap petugas media yang sedang melaksanakan tanggungjawab mereka profesional.

KMP dalam kenyataan berkata, pihaknya memandang serius tindakan berkenaan dan menegaskan pengamal media yang bertugas sentiasa memahami etika kewartawanan serta menghormati nilai kemanusiaan, privasi dan sensitiviti keluarga.

“Pengamal media yang bertugas sentiasa memahami etika kewartawanan serta menghormati nilai kemanusiaan, privasi dan sensitiviti keluarga, khususnya ketika membuat liputan dalam suasana dukacita.

“Kehadiran mereka adalah sebahagian daripada tanggungjawab untuk mendokumentasikan peristiwa penting buat masyarakat dan negara,” katanya.

KMP turut menegaskan petugas media tidak menerima sebarang pemakluman rasmi mengenai sekatan atau larangan rakaman daripada pejabat Tun Dr Mahathir dan keluarga di lokasi berkenaan.

Menurut KMP, pihaknya memahami hak setiap individu untuk mengkritik, namun kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merendahkan atau menghina petugas media.

“Sebarang teguran hendaklah dibuat berdasarkan fakta dan konteks sebenar. Tindakan mengubah imej petugas media menjadi haiwan adalah sesuatu yang biadap, tidak beretika dan tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, KMP turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham Tun Dr Hasmah yang disifatkan sebagai kehilangan besar kepada keluarga, masyarakat dan negara.

KMP turut merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir serta seluruh keluarga atas pemergian Allahyarham yang banyak menabur jasa kepada negara, khususnya dalam bidang kesihatan dan kebajikan masyarakat.

KMP menegaskan pihaknya akan terus mempertahankan maruah, keselamatan dan hak warga media untuk menjalankan tugas secara profesional tanpa penghinaan atau serangan peribadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN