KANGAR: Kerjasama Pas dan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin menjadi kenyataan apabila rundingan kedua-dua parti itu sudah mencapai 90 peratus.
Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut menegaskan tidak timbul soal UMNO turut berunding dengan Pakatan Harapan (PH), tidak bertindih soal kerjasama tersebut.
Katanya, hasil mandat diberikan kepada jawatankuasa perundingan itu akan dibawa kepada parti masing-masing sebelum dimuktamadkan pengagihan kerusi.
Ujar beliau, secara asas, UMNO bertanding di kerusi dimenangi dalam PRN lalu dan rundingan tertumpu kepada enam sehingga 10 kerusi yang perkembangan cukup baik ke arah merealisasikan kerjasama dua parti itu.
“Jawatankuasa rundingan antara Pas dan UMNO nampak cukup baik ke arah mewujudkan persefahaman tersebut. Kita sudah menjalankan rundingan dan hampir 90 peratuslah sudah selesai. Selepas ini, ia akan dibawa ke peringkat parti masing-masing untuk pengesahan.
“UMNO ada hak berunding dengan parti lain, namun setakat ini, kita boleh mengesahkan bahawa perundingan Pas dan UMNO sudah berjalan. Tak timbullah soal UMNO hendak runding dengan PH. Kebiasaan, tidak akan bertindihlah,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas di Kompleks Pas di sini hari ini.
UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini menyatakan kesediaan mempertahankan semua 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang gabungan itu pada PRN Melaka.
Tuan Ibrahim berkata, sebagaimana formula di Negeri Sembilan, Pas terbuka memberi laluan kepada parti yang menang sebelum ini mempertahankan kerusi tersebut.
Katanya, manakala kerusi yang belum dimenangi sama ada oleh UMNO, BN ataupun Perikatan Nasional (PN) akan melalui proses rundingan bagi mencapai persefahaman.
“Saya fikir oleh kerana Melaka ini UMNO sudah menang besar dalam PRN lalu namun ada beberapa kerusi yang belum dimenangi. Jadi, kerusi-kerusi tersebut kita rundinglah untuk kita bertanding, insya-Allah.
“Kerjasama Pas dan UMNO ini dapat mengekang beberapa kerusi DAP di Melaka sebagaimana di Negeri Sembilan sebelum ini. Kalau berlaku muafakat yang betul, insya-Allah kita boleh menang seperti di Negeri Sembilan.
“Semua perkara boleh diselesaikan melalui perbincangan, Melaka ada formulanya, Negeri Sembilan ada kaedahnya, begitu juga dengan negeri-negeri SG4 selepas ini.
“Seperti di negeri SG4, ada negeri yang UMNO tidak menang satu kerusi sekali pun, tetapi tentu ada kaedahnya. Pada masa ini, fokus Melaka terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, fokus utama mesyuarat Majlis Syura bagi memuktamadkan kelulusan senarai calon parti itu untuk pilihan raya di Melaka.
Katanya, Majlis Syura yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin itu meluluskan kesemua senarai yang melibatkan dua hingga tiga nama calon bagi setiap DUN yang diserahkan oleh Badan Perhubungan Pas Melaka selepas selesai meneliti latar belakang mereka.-UTUSAN











