MELAKA: Kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) akan turut diperluaskan ke Kelantan dan Terengganu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama antara kedua-dua gabungan itu akan diteruskan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, termasuk ke peringkat Persekutuan.
Katanya, pengalaman kerjasama dalam beberapa pilihan raya sebelum ini termasuk di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menjadi asas untuk memperkemaskan lagi hubungan antara kedua-dua pihak.
“Insya-Allah, akan diteruskan dan kita jangkakan bahawa kita semua akan lebih baik setelah menerima pengalaman di Johor, Negeri Sembilan dan hari ini yang ketiga di Melaka.
“Insya-Allah, peringkat Persekutuan dan seterusnya,” katanya ditemui pemberita di sini hari ini.
Mengulas kemungkinan kerjasama itu turut melibatkan negeri yang ditadbir Pas seperti Kelantan dan Terengganu, beliau memberikan bayangan positif terhadap perkara berkenaan.
“Insya-Allah, ada kerjasama,” katanya.
Terdahulu, Abdul Hadi berkata, kerjasama antara PN dan BN penting bagi memastikan gerak kerja kedua-dua gabungan dapat diselaraskan, termasuk pembahagian jentera untuk membantu calon yang bertanding.
Beliau berkata, segala permasalahan antara kedua-dua pihak dapat diselesaikan dengan baik bagi memastikan kerjasama itu berjalan secara sistematik.
“Antara dua kumpulan parti yang besar, iaitu Perikatan Nasional dan Barisan Nasional. Yang penting ialah kerjasama kami memberi kemenangan.
“Kita selesaikan semua masalah. Kerjasama dapat diselesaikan dengan baik dan pembahagian jentera dapat dilakukan secara sistematik, dengan kedua-dua belah pihak turun membantu,” katanya. -UTUSAN











