Jalan baharu KLIA-Enstek mampu tarik pelabur ke Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Jalan baharu KLIA-Enstek mampu tarik pelabur ke Negeri Sembilan

ISMAIL Lasim melawat tapak pameran ketika hadir Majlis Perasmian Penutup MAPEX NS, di sini hari ini.- UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pembinaan jalan baharu yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan Bandar Enstek dijangka memperkukuh prasarana pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, kemudahan itu mampu menjadi nilai tambah kepada pembangunan kawasan berkenaan.

Menurutnya, laluan baharu itu juga diharap dapat menarik lebih ramai pelabur ke Negeri Sembilan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa ini satu nilai tambah yang baik untuk Negeri Sembilan dalam pembangunan MVV.

“Kami harap lebih ramai pelabur akan datang dengan adanya kemudahan laluan baharu ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Pameran Hartanah Malaysia (MAPEX) Negeri Sembilan 2026, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kerajaan negeri menyambut baik peruntukan pembangunan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dan akan membantu memudah cara pelaksanaan projek berkenaan.

Menurutnya, kerjasama jabatan dan agensi berkaitan penting bagi memastikan projek yang diumumkan dapat dilaksanakan mengikut jadual serta manfaatnya dinikmati rakyat.

“Kerajaan negeri menyambut baik peruntukan yang diumumkan untuk Negeri Sembilan dan akan memudah cara pelaksanaan projek berkenaan.

“Saya yakin jabatan-jabatan berkaitan akan terus memberikan kerjasama sebaiknya bagi memastikan manfaat peruntukan itu dapat dirasai rakyat dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Ismail turut berharap kesemua inisiatif yang diumumkan menerusi belanjawan itu dapat dilaksanakan mengikut perancangan bagi mengelakkan kelewatan yang boleh menjejaskan harapan rakyat.

“Pelbagai perkara diumumkan semalam dan saya berharap semuanya dapat dilaksanakan dengan baik. Apa yang penting bukan sahaja pengumuman peruntukan, tetapi kaedah pelaksanaannya supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual.

“Ada kalanya banyak perkara diumumkan, tetapi pelaksanaannya tersangkut atau lewat daripada jadual ditetapkan. Keadaan itu boleh menimbulkan rungutan dalam kalangan rakyat yang sudah menaruh harapan terhadap projek berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan beberapa projek infrastruktur di Negeri Sembilan, termasuk pembinaan jalan baharu dari KLIA ke Bandar Enstek dan naik taraf Jalan Pajam-Nilai-Salak bagi menyokong pembangunan MVV 2.0.

Selain itu, sembilan fasiliti kesihatan baharu akan dibina di seluruh negara, termasuk Kompleks Kesihatan Bersepadu di Rembau, Negeri Sembilan dan Gerik, Perak, untuk meningkatkan akses serta mutu perkhidmatan kesihatan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini