Isu bilik 'sarang burung': Sediakan rumah sewa mampu milik

Sediakan rumah sewa mampu milik tangani isu bilik ‘sarang burung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyediaan rumah sewa mampu milik perlu menjadi sebahagian daripada usaha menangani isu bilik sewa ‘sarang burung’ bagi pekerja dan golongan berpendapatan rendah yang berdepan kekurangan pilihan penginapan selamat.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. Saravanan Thambirajah ber­kata, pemilik tidak boleh mengutamakan keuntungan sehingga mengabaikan keselamatan dan nyawa penyewa meskipun permintaan terhadap bilik sewa murah semakin tinggi.

Katanya, penyewa yang terpaksa memilih penginapan murah tetap berhak mendapat tempat tinggal yang selamat dan hak itu tidak boleh dikompromi hanya kerana kemampuan kewangan mereka terbatas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita faham permintaan ter­hadap bilik sewa murah semakin tinggi terutama di bandar dan kawasan kos sara hidup tinggi. Namun, keadaan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk pemilik membahagikan premis kepada terlalu banyak bilik kecil tanpa kelulusan dan tanpa mengambil kira laluan kecemasan, pengudaraan, pendawaian elektrik, pencahayaan, kepadatan penghuni serta risiko kebakaran.

“Apabila seseorang menge­nakan bayaran sewa, pemilik mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan tempat tinggal yang munasabah dan selamat.

“Pada masa sama, kita perlu melihat punca mengapa masih ada pengguna sanggup menye­wa tempat sebegini. Ini me­nunjukkan terdapat tekanan kos sara hidup dan kekurangan pilihan penginapan yang selamat tetapi mampu disewa oleh pekerja serta golongan berpendapatan rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, bandar raya Johor Bahru semakin pesat membangun dan kini dihuni penduduk daripada pelbagai latar belakang dan pekerjaan termasuklah kira-kira 350,000 orang yang berulang-alik untuk bekerja di Singapura.

Bagaimanapun, kepesatan pembangunan itu tidak bermakna penduduknya terlepas daripada tekanan ekonomi khususnya peningkatan kos sara hidup dihadapi yang tidak se­iring dengan peningkatan pendapatan.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian penduduk di bandar raya ini terpaksa memilih untuk tinggal di bilik sewa sempit hasil ubah suai di ruang tingkat atas rumah kedai sehingga ia digelar sebagai rumah ‘sarang burung’

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, pengeluaran notis sahaja mungkin tidak mencukupi bagi kes serius atau berulang melibatkan premis yang diubah suai atau ditukar kegunaan tanpa kelulusan serta berisiko terhadap keselamatan penyewa.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT), bomba dan agensi berkaitan perlu menjalankan pemeriksaan secara berkala menerusi penguatkuasaan yang lebih tegas serta bersepadu.

“Tindakan susulan perlu dibuat dengan segera termasuk arahan pembetulan, penghentian penggunaan premis, kompaun atau pendakwaan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

“Kerajaan juga perlu mewujudkan pemantauan yang lebih sistematik terhadap premis komersial yang ditukar menjadi penginapan. Jika pemilik tahu pemeriksaan boleh berlaku pada bila-bila masa dan tindakan tegas akan diambil terhadap ketidakpatuhan, ia akan menjadi pencegahan yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau menegaskan, pihak berkuasa tidak boleh menunggu sehingga berlaku kebakaran dan kehilangan nyawa sebelum bertindak terhadap premis yang berisiko kepada keselamatan penghuni.

“Penyewa perlu diberikan saluran mudah untuk membuat aduan kepada PBT atau Bomba jika mendapati kediaman mereka tidak selamat tanpa perlu takut kehilangan tempat tinggal secara serta-merta.

“Keselamatan penyewa ialah hak asas yang tidak boleh dikompromi hanya kerana mereka memilih atau terpaksa memilih tempat tinggal dengan kadar sewa yang murah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN