Fadhli Masoot fikir panjang sebelum jayakan babak ‘diliwat’ tanpa rela dalam Orang Perang - Utusan Malaysia

Fadhli Masoot fikir panjang sebelum jayakan babak ‘diliwat’ tanpa rela dalam Orang Perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fadhli Masoot mengakui berdepan kebimbangan sebelum menjayakan babak dirinya diliwat tanpa rela oleh Ammar Alfian menerusi filem terbaharu, Orang Perang.

Memainkan watak sebagai Bah Sidap yang merupakan salah seorang Orang Asli yang menjadi tali barut Komunis, Fadhli memaklumkan pada awalnya dia turut mempersoalkan keperluan babak tersebut kerana tidak terkandung dalam skrip asal.

“Babak itu sebenarnya tidak ada dalam skrip awal, sebaliknya dimasukkan ketika proses penggambaran sudah berjalan. Pada mulanya memang saya banyak berfikir dan bertanya, kenapa perlu ada babak ini? Apakah kepentingannya dalam cerita?

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya juga terlalu memikirkannya kerana filem ini mahu mengangkat masyarakat Orang Asli, tetapi dalam masa sama kita menunjukkan sisi sebegini. Saya tertanya-tanya, adakah kita seolah-olah memburukkan mereka?” katanya kepada Utusan Malaysia.

Fadhli bagaimanapun tetap menjayakan babak sensitif tersebut selepas mengambil kira nasihat daripada rakan-rakan pelakon yang terlibat dalam karya arahan Hashim Rejab tersebut.

“Ramai rakan dan mereka yang lebih senior memberikan nasihat. Sebagai pembikin karya, kita sebenarnya mahu menunjukkan realiti yang wujud. Terpulang kepada penonton bagaimana mereka mahu melihatnya. Kalau mereka melihatnya secara negatif, maka negatiflah jadinya.

“Tetapi mereka juga boleh melihat daripada perspektif lain. Bagaimana kalau perkara sebegitu berlaku kepada ahli keluarga sendiri dan apakah reaksi mereka? Saya juga duduk berbincang dengan Ammar. Saya tengok dia tenang sahaja dan bersedia untuk menjayakan babak tersebut.

“Dia cakap, kalau bercakap mengenai rasa malu, dia sendiri mempunyai anak dan sudah tentu terfikir apa yang anak-anaknya akan katakan apabila menonton babak itu nanti. Tetapi dia tetap melakukannya demi watak. Selepas mendengar kata-katanya, saya fikir, kenapa tidak saya cuba lakukan yang terbaik.

“Saya hanya meletakkan diri sebagai seorang manusia yang berada dalam situasi tersebut dan membayangkan bagaimana reaksi saya jika perkara itu berlaku. Itu sahaja,” jelasnya.

Tidak menafikan babak sensitif itu sedikit sebanyak mampu mempengaruhi tarikan penonton, Fadhli menganggap setiap jalan penceritaan mempunyai mesej tersendiri untuk disampaikan, malah berharap orang ramai bersifar terbuka untuk menjadikannya sebagai pengajaran.

“Kadang-kadang cerita yang dikecam itulah yang akhirnya mendapat perhatian. Saya tidak pernah terfikir babak itu akan dikecam. Apa yang lebih saya fikirkan adalah kesannya terhadap diri sendiri, mungkin orang akan bercakap mengenai saya atau menjadikan saya bahan ketawa.

“Tetapi bagi saya, perkara yang cuba ditunjukkan itu adalah realiti. Kadang-kadang penonton meminta cerita yang realistik, tetapi apabila kita tunjukkan realiti, ada pula yang bertanya kenapa perkara sebegitu perlu ditunjukkan.

“Sampai bila-bila kita tidak akan dapat memuaskan hati semua orang. Kalau orang mahu mengecam, biarkan. Tetapi kalau mereka menghargai babak, lakonan dan situasi yang berlaku, mungkin mereka akan melihatnya daripada sudut berbeza,” katanya.

Untuk rekod, Orang Perang menerima klasifikasi 18 daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) dan diluluskan tanpa sebarang potongan babak.

Filem yang turut dibintangi Niezam Zaidi, Syazwan Zulkifli, Adam Corrie dan Fauzi Nawawi itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 1 Oktober.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN