Dua beradik antara 14 lelaki didakwa membunuh - Utusan Malaysia

Dua beradik antara 14 lelaki didakwa membunuh

KESEMUA tertuduh dikawal anggota polis ketika dihadapkan atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Gurun, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURUN: Seramai 14 lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah rumah, minggu lalu.

Tertuduh ialah Muhammad Asyraaf Muhammad Zaidi, 20; Muhammad Azrul Rahimi Muhamad Yusri, 18; Ahmad Izzul Irfan Ridduan, 21; Muhammad Rhahimy Abdul Rashid, 19; Yusman Hakimi Yusmezal, 24, dan Muhammad Zulfaqar Zulkarnain Khairol Fais, 21.

Turut dituduh, Muhammad Aiman Riduwan Abdullah, 21; Ahmad Aiman Danial Ahmad Wizam, 21; Syafiq Afif Syarafuddin Abd. Ghapar, 23; Muhammad Adam Iqbal Mohd. Wazir, 19; Muhammad Muqkriz Azizan, 21, Muhammad Adam Haris Rosdan, 21; dan dua remaja bawah umur berusia 16 dan 17 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesemua mereka hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad dan tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama dituduh membunuh sehingga menyebabkan kematian Muhammad Haikal Mohd. Shahrilnizam, 19, di sebuah rumah di Jalan Sungai Petani, Gurun antara pukul 9 malam, 5 Oktober hingga 7.30 pagi, 8 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya, sementara tiga daripada tertuduh diwakili peguam Mohamad Ashraf Ahmad Sohaimi.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan 23 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Isnin lalu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah memaklumkan Muhammad Haikal yang dijumpai telah meninggal dunia dengan mayatnya dibuang di kawasan semak dipercayai dibelasah selepas dituduh mencuri motosikal.

Mangsa dipercayai terlebih dahulu dikurung dan diseksa selama dua hari dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan akibat hentakan objek tumpul di kepala.

Ibu mangsa, Azura Zor, 41, berkata, dia tidak menyangka anak sulungnya itu yang gagal dihubungi sejak akhir bulan lalu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini