ALOR SETAR: Bina Darulaman Berhad (BDB) menerima kontrak bernilai RM11.5 juta daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi pembinaan pusat perniagaan bersepadu (IBC) di Kedah Rubber City (KRC), Padang Terap, dekat sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md. Din berkata, projek yang diraih menerusi anak syarikat, BDB Synergy Sdn. Bhd. mempunyai tempoh pelaksanaan selama 18 bulan dari tarikh penyerahan tapak.
Katanya, pembangunan di kawasan Bukit Ketapang itu melibatkan pembinaan bangunan IBC yang merangkumi kerja-kerja luaran, pemasangan elektrik dan mekanikal, kerja cerucuk serta kerja-kerja berkaitan.
“Penerimaan kontrak bernilai RM11.5 juta ini membuktikan bahawa Kumpulan BDB terus mendapat kepercayaan dalam menyokong pembangunan infrastruktur, bukan sahaja daripada Kerajaan Negeri Kedah, malah turut melibatkan agensi Kerajaan Persekutuan.
“Penglibatan BDB Synergy dalam projek IBC ini juga selari dengan usaha Kumpulan BDB untuk memperkukuh perniagaan teras dalam sektor kejuruteraan dan pembinaan, di samping memperluas penglibatan dalam projek-projek infrastruktur strategik di Kedah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Che Khalid, BDB Synergy berpengalaman lebih 44 tahun dalam industri kejuruteraan dan pembinaan serta memiliki kepakaran dalam melaksanakan pelbagai projek infrastruktur dan pembinaan berskala besar.
Ujar beliau, antara projek utama yang kini berada di peringkat akhir penyiapan adalah menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang serta pemasangan jajaran paip yang bernilai RM431 juta.
“Justeru, kontrak baharu ini akan mengukuhkan rekod prestasi BDB Synergy dalam melaksanakan projek pembinaan di kawasan pembangunan strategik. BDB Synergy juga akan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki bagi memastikan projek IBC dilaksanakan dengan cekap, berkualiti dan mengikut tempoh ditetapkan.
“Kami komited untuk memastikan aspek kualiti, keselamatan, tadbir urus dan pematuhan diberi keutamaan sepanjang pelaksanaan projek serta memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh NCIA dan semua pihak berkepentingan,” ujarnya. – UTUSAN










