PETALING JAYA: Kadar Bantuan Awal Persekolahan (BAP) ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid sebagai persiapan sesi persekolahan 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan bantuan berkenaan melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1 bilion dan bakal memberi manfaat secara langsung kepada 5.3 juta murid di seluruh negara.
“Menerusi kadar baharu itu, sesebuah keluarga yang mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah bakal menerima bantuan kewangan berjumlah RM800.
“Bantuan ini akan disalurkan di sekolah supaya ibu bapa dapat hadir dan bertemu sendiri dengan guru sebagai tanggungjawab bersama bagi kemajuan akademik serta pembentukan sahsiah anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini. –UTUSAN











