KOTA BHARU: Kanak-kanak lelaki yang cedera selepas diserang lima ekor anjing ketika bermain di Pantai Kuala Kemasin, Bachok, Khamis lalu masih dalam keadaan trauma dan tidak mampu menceritakan secara terperinci kejadian yang menimpanya itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, bahagian kepala dan leher Azuar Firdaus Zuraiman, 8, yang cedera perlu dijahit dalam prosedur yang dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, kelmarin.
Ibu mangsa, Rosnani Mat Salleh, 46, berkata, anak kelapan daripada sembilan beradik itu kelihatan takut dan trauma apabila bercakap mengenai anjing liar selepas kejadian itu.
Katanya, Azuar Firdaus juga mengunci mulut sejak kejadian tersebut dan hanya bercerita mengenai tragedi menimpanya, kelmarin iaitu selepas pembedahan selesai.
“Dia tidak mahu bercakap mengenai kejadian itu selama hampir dua hari. Selepas pembedahan, baru Azuar Firdaus berani membuka mulut meskipun keadaannya masih trauma dengan kejadian tersebut.
“Alhamdulillah, dia selesai menjalani pembedahan di HRPZ II apabila bahagian kepala dan lehernya dijahit dengan empat jahitan. Buat masa ini, Azuar Firdaus disuntik satu dos vaksin rabies dan vaksin itu bersama antibiotik akan diberikan lagi dalam tempoh tiga minggu,” katanya ketika ditemui di HRPZ II di sini, semalam.
Terdahulu, Azuar Firdaus menerima kunjungan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Norazan Mat Nor bersama pegawai dan guru besar Sekolah Kebangsaan Tawang, Mohamed Fhadhil Hassan ketika berada di Wad Anggerik, HRPZ II.
Rosnani berharap pihak berwajib dapat melakukan tangkapan segera terhadap anjing liar yang berkeliaran di Pantai Kuala Kemasin bagi mengelak kejadian sama berlakukepada orang lain.
Sementara itu, Norazan berkata, beliau yang mewakili Pengarah JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad melawat Azuar Firdaus sebagai tanda prihatin dengan kejadian yang menimpa murid berkenaan pada Khamis lalu.
Katanya, JPN Kelantan sedia memberi bantuan keperluan asas yang diperlukan murid tahun dua itu ketika dirawat di HRPZ II.- UTUSAN











