PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa untuk menetapkan tarikh pembentangan audit keselamatan sekolah berikutan tragedi yang berlaku baru-baru ini.
Pemangku Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kementerian itu perlu menetapkan tarikh untuk membentangkan dapatan pemeriksaan keselamatan sekolah kepada umum, termasuk tindakan pembetulan, tempoh pelaksanaan dan pihak yang bertanggungjawab.
“Tetapkan tarikh siap audit dan umumkan dapatan. KPM perlu menyatakan bila pemeriksaan akan selesai, apa kelemahan yang ditemukan dan bila setiap pembetulan akan dibuat.
“Maklumat yang menjejaskan siasatan atau identiti murid boleh dikecualikan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Semalam, media melaporkan, tiga pelajar berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang pelajar iaitu Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.
Dalam kejadian itu, mangsa ditemukan neneknya di kawasan sekolah selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tambahan.
Selain itu, Nolee berkata, KPM turut perlu tetapkan siapa yang bertanggungjawab menjaga murid selepas waktu sekolah
Katanya, setiap kelas tambahan, latihan dan aktiviti hujung minggu mesti mempunyai pegawai bertanggungjawab, rekod kehadiran dan kawalan keluar masuk.
“Tidak boleh ada kekeliruan tentang siapa yang menjaga murid pada waktu tersebut,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu memeriksa sama ada sistem keselamatan benar-benar berfungsi.
“KPM perlu memeriksa kamera litar tertutup (CCTV), rondaan pengawal, kawalan akses dan kawasan yang kurang pencahayaan, termasuk keadaan semua sistem ini pada hari kejadian,” katanya.
Malah, katanya, kerajaan juga perlu mengambil tindakan tanpa ada kecuaian terutama pada pihak yang bertanggungjawab.
“Pada masa yang sama, murid, guru dan kakitangan yang terkesan perlu diberikan sokongan psikososial,” katanya.
Sementara itu, Nolee berkata, Srikandi menuntut supaya Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini mengandungi peruntukan khusus untuk keselamatan sekolah, termasuk penyeliaan aktiviti di luar waktu persekolahan, penyelenggaraan CCTV, penambahbaikan kawasan berisiko dan audit prestasi syarikat keselamatan
“Keselamatan murid perlu mempunyai peruntukan yang jelas, boleh diukur dan boleh diaudit,” katanya. – UTUSAN











