Agrobank salur RM70 juta pembiayaan padi, manfaat 10,000 pesawah - Utusan Malaysia

Agrobank salur RM70 juta pembiayaan padi, manfaat 10,000 pesawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agrobank menyalurkan pembiayaan padi berjumlah RM70 juta bagi membantu pesawah memenuhi keperluan modal dan meneruskan aktiviti penanaman, setakat 20 Oktober lalu.

Jumlah itu menyusuli pembiayaan sebanyak RM111.63 juta yang disalurkan sepanjang 2025 dengan kemudahan berkenaan secara keseluruhan telah membantu hampir 10,000 pesawah di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sokongan kepada pesawah perlu merangkumi keperluan modal serta perlindungan daripada risiko yang boleh menjejaskan hasil tanaman dan pendapatan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pembiayaan yang bersesuaian dan perlindungan takaful dapat membantu pesawah mengurus risiko, meneruskan aktiviti penanaman selepas mengalami kerugian serta membina daya tahan kewangan yang lebih kukuh.

“Pendekatan menyeluruh ini mencerminkan komitmen Agrobank dalam menjaga kebajikan pesawah dan memastikan mereka dapat terus menyumbang kepada pengeluaran padi serta keterjaminan makanan negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pembiayaan itu disediakan bagi menangani antara cabaran utama pesawah, khususnya keperluan modal pusingan pada awal musim penanaman dan kebergantungan kepada sumber pembiayaan tidak formal.

“Menerusi kemudahan pembiayaan padi itu, pesawah boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM50,000 bagi tempoh maksimum enam bulan untuk setiap musim penanaman dengan kadar keuntungan antara satu hingga 3.25 peratus semusim.

“Kemudahan tersebut ditawarkan bagi tempoh sehingga lima tahun dan boleh diperbaharui, tertakluk kepada penilaian, kelulusan serta terma dan syarat ditetapkan.

“Pembiayaan berkenaan boleh digunakan bagi memenuhi keperluan modal termasuk pembelian input pertanian dan membiayai operasi sepanjang musim penanaman,” katanya.

Selain pembiayaan, Agrobank turut menawarkan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang menyediakan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar bagi setiap musim penanaman untuk kerugian akibat bencana alam.

“Skim itu turut menyediakan perlindungan sehingga RM1,500 sehektar bagi kerugian akibat serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman.

“Setakat ini, manfaat perlindungan berjumlah RM51.96 juta telah disalurkan menerusi STTP kepada pesawah di seluruh negara bagi membantu mengurangkan kesan kerugian tanaman.

“Daya tahan sektor padi bergantung kepada keupayaan pesawah memperoleh akses kepada modal, perlindungan dan sokongan yang bersesuaian,” katanya.

Justeru, bank itu akan terus memainkan peranan sebagai rakan pembangunan dalam memperkukuh kesejahteraan pesawah dan memastikan kelangsungan industri padi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini