Usah bandingkan Zaki Yamani dengan Hussain - Utusan Malaysia

Usah bandingkan Zaki Yamani dengan Hussain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cik Bunga hendak tegur sikit perangai segelintir warganet yang sejak kebelakangan ini nampaknya tidak habis-habis mahu membandingkan penyanyi muda, Zaki Yamani, dengan sepupunya, Hussain, yang kini semakin menjadi perhatian dalam industri hiburan. Ada sahaja yang mahu mencari beza.

Yang ini lebih sedap suara, yang itu lebih menyerlah di pentas. Yang ini lebih menarik, yang itu pula dikatakan lebih mempunyai aura. Kemudian bermulalah perang di ruangan komen. Aduhai, kenapa sampai begitu sekali? Cik Bunga faham, masing-masing mempunyai penyanyi pilihan. Ada yang sudah lama menyokong Zaki, ada pula yang kini mula jatuh hati dengan bakat dan gaya Hussain. Itu tidak salah.

Tetapi yang kurang manisnya apabila sokongan kepada seorang penyanyi perlu disertakan dengan usaha menjatuhkan seorang lagi. Kenapa mesti begitu? Bukankah Zaki dan Hussain itu membawa identiti masing-masing?

Zaki ada gayanya sendiri, Hussain pula hadir dengan warna dan pendekatan tersendiri. Lagu dibawakan pun tidak semestinya sama, begitu juga dengan karakter serta hala tuju seni masing-masing. Jadi, apa perlunya mereka sentiasa diletakkan dalam satu gelanggang untuk menentukan siapa lebih hebat?

Cik Bunga rasa, kadangkala warganet ini lebih beria-ia hendak ‘melagakan’. Yang hendak menyanyi, penyanyi. Yang hendak bergaduh, peminat pula! Akhirnya, Zaki dan Hussain mungkin boleh sahaja bertegur sapa sebagai keluarga, tetapi penyokong mereka pula sudah bermasam muka sesama sendiri. Tidak kelakar juga kalau difikirkan.

Bagi Cik Bunga, dalam dunia hiburan, perbandingan memang tidak dapat dielakkan. Apabila dua nama mempunyai pertalian keluarga dan kebetulan pula sama-sama menceburi bidang nyanyian, sudah tentu perhatian akan diberikan.

Namun, perhatian tidak semestinya perlu bertukar menjadi persaingan. Malah, Cik Bunga berpendapat, lebih menarik kalau kita melihat Zaki dan Hussain sebagai dua penyanyi yang mempunyai perjalanan seni masing-masing. Bukannya seorang perlu mengatasi seorang lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×